Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
DAP desak Salleh izin debat disiar secara langsung
Diterbitkan:  Mar 15, 2017 5:10 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak digesa membenarkan debat di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Nazri Aziz disiarkan secara langsung di televisyen.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata siaran secara langsung itu perlu bagi membolehkan seluruh rakyat di negara ini mengikuti perkembangan terkini skandal 1MDB yang membelenggu negara.

"Saya menyeru Salleh mengatur perbahasan Dr Mahathir-Nazri di Padang Rengas disiarkan secara langsung supaya rakyat di seluruh negara boleh mengikuti perkembangan terkini berkaitan ibu segala skandal dalam negara ini," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mahathir dan Nazri dijadual bertemu untuk berdebat buat kali pertama pada akhir bulan ini di kawasan diwakili menteri pelancongan dan kebudayaan itu, Padang Rengas, Perak.

Ia dianggap kubu kuat Nazri selepas beliau mewakili kawasan berkenaan sejak pilihan raya umum kesembilan pada 1995.

Perang mulut antara Nazri dan Dr Mahathir semakin panas selepas bekas perdana menteri selama 22 tahun itu menjadi pengkritik keras kerajaan dan akhirnya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Mahathir kini adalah pengerusi BERSATU.

Beliau sebelum ini mencabar Nazri berdebat mengenai isu 1MDB, skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) yang berlaku di bawah penatdbirannya, dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak serta hal berkaitan.

Nazri menerima cabaran berkenaan tanpa sebarang syarat.

Mengulas lanjut, Lim dijadual berlangsung pada 25 Mac ini juga penting kerana belum ada penyelesaian mengenai isu 1MDB setakat ini.

"Ia adalah sebab saya mengalu-alukan perbahasan antara Dr Mahathir-Nazri pada 25 Mac ini," katanya.

Lim turut menegaskan, kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bahawa isu 1MDB telah dibahaskan secara meluas di Parlimen, adalah tidak benar.

"Anggota parlimen tidak dibenarkan bertanya soalan mengenai skandal 1MDB walaupun hampir setiap hari skandal 1MDB itu menjadi tajuk utama.

"Untuk rekod, parlimen tidak pernah menjalankan apa-apa perbahasan mengenai skandal 1MDB," kata anggota Parlimen Gelang Patah itu.

Lihat Komen
ADS