Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Menang tetap menang' sambut 'lawan tetap lawan'

Pembangkang boleh terus dengan slogan "Lawan tetap lawan" tetapi bagi seorang anggota Majlis Tertinggi Umno, parti itu tetap yakin ia tidak akan menggugat BN.

Kata Datuk Seri Nazri Aziz, untuk menjawab slogan semangat itu, beliau akan menjawab: Menang tetap menang.

Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, anggota parlimen Padang Rengas itu juga berkata, pembangkang mengakui acuan politik BN adalah cara untuk mencari kemenangan.

Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir bahawa pembangkang mesti bersatu untuk memenangi pilihan raya, Nazri berkata, beliau yakin bekas perdana menteri itu bersungguh dalam kata-katanya.

"Saya tidak fikir dia (Dr Mahathir) membohong tentang hal itu. Perkara itu betul," katanya.

Pada masa sama Nazri berkata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu kini mengakui kejayaan kerajaan dan terpaksa mencontohi acuan politik BN.

"Itu memang template (acuan) kita. Dia mengakui kejayaan kita. Jadi sekarang dia duduk dalam pembangkang, dia nak beri nasihat, saya ingat itu betullah," katanya.

Dr Mahathir sebelum menegaskan, semua parti pembangkang perlu bekerjasama dan bersatu bagi menghadapi BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

PRU ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya tahun depan.

Sebagai persediaan ke arah itu, BERSATU mengumumkan membuat permohonan rasmi menyertai Pakatan Harapan yang ketika ini dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Langkah itu dibuat bagi membolehkan semua kerusi yang dipertandingkan dalam dicabar melalui formula satu lawan satu.

Bagaimanapun setakat ini pelaksanaan formula itu masih kabur apabila mengambil kira kedudukan PAS.

Ditanya sama beliau bimbang dengan persepakatan pembangkang, Nazri menunjukkan keyakinan ia tidak mampu menggubat BN.

"Mereka kata, lawan tetap lawan, kan? Saya jawab: Menang tetap menang," katanya.

Nazri juga bersikap terbuka dengan pendekatan pembangkang.

"Kita pun tidak berdaftar dengan pihak menjaga hak cipta, jadi template BN itu, nak tiru tirulah. Pilihan raya nanti kita lawan," katanya.

Lihat Komen
ADS