Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPM: Pelajar lumpuh sebelah badan antara calon cemerlang di K'tan
Diterbitkan:  Mar 16, 2017 6:53 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Seorang pelajar yang menghidap strok dan lumpuh sebelah kanan badan hari ini membuktikan bahawa kekurangan dirinya itu bukan penghalang untuk mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Nuriffah Ramizu, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor Perdana, di Kota Bharu, muncul calon berkeperluan khas terbaik SPM 2016 di Kelantan selepas berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan tersebut.

Nuriffah berkata beliau mengalami strok sejak lima tahun lalu iaitu dua minggu sebelum menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akibat jangkitan kuman pada jantungnya.

"Akibatnya saya terpaksa menduduki UPSR di hospital dalam keadaan sedikit tertekan kerana terpaksa menjawab soalan menggunakan tangan kiri.

"Bermula pada ketika itu juga saya terpaksa berlatih menggunakan tangan kiri kira-kira tiga tahun bagi menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3)," katanya kepada pemberita ketika mengambil SPM di sekolahnya di Kota Bharu hari ini.

Beliau turut mengakui pernah beberapa kali berasa putus asa untuk meneruskan pembelajaran berikutan sukar untuk menulis menggunakan tangan kiri.

"Tetapi saya nekad dan terus berusaha untuk mahir menulis menggunakan tangan kiri sebagai persediaan untuk menduduki SPM," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata beliau juga terpaksa memperuntukkan waktu belajar melebihi pelajar lain kerana terpaksa menjalani latihan fisioterapi setiap minggu di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

"Saya tidak mahu kekurangan saya menjadi kekangan untuk saya berjaya dalam peperiksaan," katanya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang perakaunan.

Sementara itu ibunya, Norasyikin Mohd Nor, 46, berkata ketika mula-mula mengalami strok, anaknya agak murung hingga menjadi pendiam dan lebih suka berkurung di dalam bilik.

"Dia juga kelihatan rendah diri bila gagal membantu saya membuat kerja rumah termasuk memasak. Tetapi sebagai ibu saya sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada beliau terutama dalam bidang pelajaran.

"Syukur pada Allah SWT kerana berkat kegigihannya, Nuriffah berjaya membuktikan dia mampu mendapat keputusan terbaik mengatasi pelajar normal yang lain di sekolahnya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS