Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ceramah sulung BERSATU tanpa PAS di T'ganu
Diterbitkan:  Mar 17, 2017 9:00 AM
Dikemaskini: 1:40 AM

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengadakan ceramah sulungnya di Terengganu malam tadi, yang ketara tanpa kehadiran pemimpin pemimpin PAS.

Sebelum ini, BERSATU telah memilih untuk berkongsi pentas dengan PAS apabila ia datang berceramah di negeri itu.

Apa yang ketara, ialah kehadiran Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari Parti Amanah Negara, sebuah parti serpihan PAS dan musuh ketat parti itu.

Dalam ucapan pembukaan dalam ceramah di Ajil, Hulu Terengganu malam tadi, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesyukurannya kerana buat pertama kalinya, berada di majlis anjuran BERSATU di bumi Terengganu.

Dalam ucapannya, Muhyiddin membangkitkan perkara yang sama ketika berucap di ceramah PAS sebelum ini di Terengganu, menyentuh tentang asal-usul 1MDB di negeri itu ketika ia dikenali sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Beliau juga bercakap panjang lebar mengenai sejarah pembabitannya dalam Umno, dengan menegaskan bahawa parti itu telah menyimpang daripada perjuangannya.

Katanya, semasa masih dalam kerajaan, beliau memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa yang terbaik dilakukan ialah mengaudit (1MDB) supaya rakyat boleh tahu kisah sebenar.

Pada hari berikutnya, kata beliau, Najib mengumumkan keputusan kabinet supaya Ketua Audit Negara mengaudit 1MDB dan berkata rakyat boleh mengetahuinya sendiri apabila ia selesai dilakukan.

Ceramah itu disiarkan secara langsung di Facebook.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata apabila laporan itu selesai, ia telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Muhyiddin juga membangkitkan tentang tindakan Jabatan Kehakiman AS untuk merampas kira-kira AS$1 bilion dalam aset yang didakwa diperolehi dengan menggunakan dana yang didakwa dicuri dari 1MDB.

Beliau juga tidak menyentuh tentang rundingan agihan kerusi dengan PAS.

Muhyiddin awal minggu ini menjadi perhatian apabila Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa BERSATU menyokong cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Muhyiddin kemudiannya menafikannya, dengan menyatakan bahawa BERSATU masih belum membuat pendirian sehingga bentuk akhir pindaan yang dicadangkan menjadi jelas.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali semalam berkata sokongan BERSATU terhadap pindaan itu adalah pra-syarat untuk berunding dengan PAS.
 

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS