Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terus menganggap hubungan dengan PAS seperti biasa walaupun PAS Permatang Pauh dan Bayan Baru membuat ketetapan memutuskan hubungannya dengan parti itu.

Ini kerana, menurut Azmin yang juga menteri besar Selangor, PKR tidak pernah memutuskan hubungannya dengan PAS.

Bagaimanapun, Azmin berkata beliau menyerahkan keputusan muktamad kepada pucuk pimpinan PAS dan yakin perkara itu akan dibincangkan pada muktamar tahunan parti itu pada April nanti.

"Kita akan bincang. Misi (satu lawan satu) kita masih sama, kita teruskan (perbincangan) kita dan kita tengok apa yang berlaku pada muktamar nanti.

"Kita tidak pernah putuskan hubungan dengan mana-mana pihak. Jadi, itu kita serahkan kepada kebijaksanaan parti PAS dan pemimpin PAS untuk tentukan.

“Bagi pihak PKR kita mahu semua parti yang progresif, yang ingin lakukan perubahan bersama-sama. Pendirian PKR tidak berubah,” kata Azmin ketika ditemui pemberita selepas Majlis Himpunan Bulanan Jabatan dan Agensi Kerajaan Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesan kepada PKR selepas PAS Pematang Pauh dan Bayan Baru memutuskan hubungan dengan PKR di kawasan berkenaan.

Semalam, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan mendakwa PKR cuba menjejaskan kedudukan parti itu di kalangan pengundi Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Manakala Yang Dipertua PAS Bayan Baru, Iszuree Ibrahim pula berkata antara sebab kerjasama politik dengan PKR perlu dibatalkan ialah kerana parti itu "tidak sedikit pun menghormati" PAS ketika menganggotai Pakatan Rakyat, di samping "secara terang-terangan mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang".

Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan kesan tindakan itu terhadap PAS Selangor, Azmin berkata ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana hubungan PAS dan PKR di Selangor sangat mantap dan baik.

"Alhamdulillah, tak ada masalah. Kerjasama PAS di Selangor cukup mantap, kita ada AMANAH, DAP, BERSATU.

"PAS Selangor juga telah keluarkan kenyataan, saya ingat beberapa kali mempertahankan agenda bersama, dasar bersama kerajaan negeri dan dalam sidang dewan, mesyuarat exco.

"Exco PAS juga mempertahankan dasar- dasar kerajaan negeri. Saya tak ada masalah, kamu boleh datang mesyuarat exco akan datang. Mereka selalu ada untuk sokong kerajaan negeri,"
katanya.

Lihat Komen
ADS