Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bicara kes rasuah Lim, Phang ditangguh
Diterbitkan:  Mar 20, 2017 12:01 PM
Dikemaskini: 4:04 AM

Perbicaraan kes rasuah Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon yang ditetapkan pada 27 Mac ini ditangguhkan sehingga rayuan mereka untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Lim untuk menangguhkan perbicaraan kes itu sementara menunggu keputusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan menetapkan 25 April untuk pengurusan kes.

Pada 7 Mac lepas, mahkamah itu menolak permohonan Lim dan Phang untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Lim dan Phang memfailkan permohonan itu pada Januari tahun ini. Seksyen 62 itu menyebut bahawa selepas pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berdasarkan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah, tertuduh hendaklah, sebelum perbicaraan bermula, menyerahkan dokumen-dokumen berikut: (a) pernyataan pembelaan dan (b) salinan apa-apa dokumen yang boleh dikemukakan sebagai sebahagian daripada keterangan bagi pembelaan.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim dituduh sebagai penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannnya mendapatkan suapan untuk dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR pada 18 Julai, 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Atas pertuduhan kedua, Lim, sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No 25, Jalan Pinhorn, George Town, pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Phang pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 25, Jalan Pinhorn, George Town, pada 28 Julai, 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Phang selaku bekas pemilik banglo itu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo tersebut di bawah harga pasaran pada tempat dan tarikh yang sama.

Ahli perniagaan wanita itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 165, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita pihaknya telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang menolak permohonan anak guamnya.

"Sekiranya Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan ia memberi kesan terhadap mana-mana pembelaan semasa perbicaraan. Dalam keadaan itu lebih elok sekiranya Mahkamah Rayuan mendengar dan memutuskan isu itu sebelum kes ini berlangsung," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud berkata pihaknya bersetuju dengan permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah itu selepas mempertimbangkan semua faktor.

Beliau berkata pihaknya juga dalam proses membuat permohonan di Mahkamah Rayuan supaya rayuan itu dapat didengar secepat mungkin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS