Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'tangan PPUM maklumkan kematian libatkan VIP - saksi
Diterbitkan:  Mar 20, 2017 4:34 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini bahawa dia telah dimaklumkan terdapat satu kematian melibatkan orang kenamaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada malam 1 Jun 2016, ketika sedang membuat lawatan seliaan di pusat perubatan itu.

Koperal Rosaidi Mat Zudin yang bertugas sebagai penyelia di bahagian pencegahan jenayah di Balai Polis Pantai berkata dia mendapat maklumat itu daripada kakitangan PPUM sebelum memaklumkan perkara itu kepada Ketua Polis Balai Pantai, ASP Ezral Ezwani.

"Selepas itu saya telah diarahkan untuk buat kawalan keselamatan bagi memastikan keadaan tidak terlalu sesak di kawasan Wad Kecemasan PPUM kerana ramai orang keluar dan masuk," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria hari ini.

Saksi ketiga pendakwaan itu berkata demikian pada hari pertama perbicaraan kes seorang doktor perbidanan dan sakit puan (O&G) Dr Ting Teck Chin, yang didakwa menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa mendapatkan rawatan gigi di Pusat Pakar Pergigian Imperial.

Rosaidi berkata dia juga menerima arahan daripada Ezral untuk bersama-sama pasukan perubatan masuk ke bilik bedah siasat pada 1 pagi, 2 Jun 2016.

"Saya juga telah menerima arahan daripada Doktor Prasant iaitu doktor yang mengetuai pasukan bedah siasat untuk mengambil gambar sepanjang proses itu berlangsung bermula pada 1 pagi dan berakhir 4.25 pagi pada 2 Jun 2016.

"Sebanyak 49 keping gambar telah saya sambil sepanjang proses bedah siasat itu berlangsung dan kesemua gambar itu saya simpan di bilik timbalan ketua polis balai, pada 3 Jun 2016 saya memberi kesemua gambar itu kepada Pegawai Penyiasat ASP Yusmazatu Yahya Yusof," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Dr Ting, 36, yang memberi perkhidmatan bius secara sambilan di Pusat Pakar Pergigian Imperial, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syed Alman Zain, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting, yang bertugas di Jabatan O&G di Hospital Kuala Lumpur, didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62 & 64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun lepas.

Dia yang diwakili peguam Dev Kumaraendran didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung timbalan perdana menteri, Datuk Nurulhidayah, 37, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.

Turut dipanggil memberi keterangan hari ini ialah Konstabel Norhasan Asarin dan Lans Koperal Mohamad Zahir Zainuddin. Perbicaraan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS