Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Polis ditahan ‘kes kubur besar’ bebas kerana tiada bukti
Diterbitkan:  Mar 20, 2017 6:41 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Dua belas anggota polis yang ditahan susulan penemuan kubur besar di sempadan Thailand-Malaysia di Wang Kelian, Perlis telah dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, empat warga asing telah didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia.

Daripada empat yang didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATPSOM) 2007, seorang warga Bangladesh mengaku bersalah, dua warga Myanmar didapati bersalah ketika perbicaraan manakala perbicaraan warga Thailand itu masih diteruskan.

"Seramai 12 anggota polis yang disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan migran telah ditangkap di bawah Akta ATIPSOM dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

"Namun, mereka telah dibebaskan kerana tidak bukti kukuh untuk disabitkan atas kesalahan itu," kata Zahid.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) yang meminta status siasatan kem pelarian/migran di Wang Kelian susulan terjumpanya puluhan mayat manusia di sempadan pada bulan Mei 2015.

Menteri itu berkata “139 struktur yang dipercayai kubur" telah ditemui di enam lokasi berkhemah yang dibina oleh "sindiket" berkenaan di sempadan hutan Thailand-Malaysia.

"(Kawasan ini) diistilahkan sebagai sebagai ‘safe haven’ untuk memindahkan sementara pendatang-pendatang asing apabila pihak berkuasa thailand membuat operasi di kawasan berkenaan.

"Dan setelah keadaan reda, pendatang berkenaan akan dipindahkan semula di penempatan kekal yang terletak di Thailand,” katanya dalam jawapan bertulis.

Zahid berkata daripada empat warga asing yang didakwa itu, warga Bangladesh berkenaan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara selepas mengaku bersalah, manakala dua warga Myanmar tersebut, masing-masing menerima hukuman penjara tiga tahun.

Perbicaraan bagi warga Thailand itu pula akan disambung semula pada 15 dan 16 Disember tahun ini.

Polis juga, katanya telah memperoleh waran tangkap terhadap 11 suspek lain. Notis merah juga dikeluarkan oleh Polis Antarabangsa, Interpol.

Menurutnya, pada Ogos tahun lalu, kerajaan Malaysia memohon kepada Thailand dan Bangladesh untuk mengekstradisi 10 warga Thailand dan seorang warga Bangladesh berhubung kes itu.

Sebanyak 106 laporan kematian mengejut telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis pada 14 Oktober, 2016, untuk arahan sama ada inkues perlu diadakan atau sebaliknya oleh Mahkamah Majistret Kangar.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS