Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bilik kebal pentadbiran tanah Johor tidak bolos - PTG
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 6:26 AM
Dikemaskini: Mar 21, 2017 3:04 AM

Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor menegaskan bilik kebal Pentadbiran Tanah Johor tidak dibolosi seperti didakwa pihak tertentu.

Pengarahnya Mohd Halim Hasbullah berkata tidak terdapat juga sebarang kehilangan dokumen pemilikan tanah dari bilik berkenaan seperti dilaporkan pihak berkenaan.

"Isu berkaitan keselamatan bilik kebal di Pejabat PTG Johor mendapat perhatian pelbagai pihak sejak polis menahan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam urusan yang diragui berkaitan hartanah di Johor.

"Berdasarkan laporan polis yang dibuat pemilik tanah terlibat, kes yang dimaksudkan adalah berkaitan pemalsuan dokumen dan terdapat unsur penipuan melibatkan urus niaga tanah yang pada masa ini masih dalam siasatan pihak berkuasa," katanya menerusi satu kenyataan petang semalam.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, Salahuddin Ayub menuntut Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bentuk pemantauan yang dibuat ke atas agensi berkenaan.

Ini berikutan portfolio Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan dan Perancangan Negeri Johor berada di bawah menteri besar itu.

Salahuddin turut menyifatkan insiden kecurian dokumen itu satu tamparan hebat kepada pentadbiran Mohamed Khaled.

Mohd Halim berkata PTG Johor sentiasa mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya termasuk mematuhi segala prosedur yang ditetapkan bagi semua urusan tanah.

Beliau berkata PTG Johor juga memberi jaminan dokumen hak milik tanah pendaftar yang disimpan di semua bilik kebal Pentadbiran Tanah Johor adalah berada dalam keadaan selamat daripada sebarang pencerobohan.

Katanya PTG Johor juga sentiasa mengambil langkah memastikan tahap keselamatan dokumen di Pentadbiran Tanah Johor kekal berada dalam keadaan baik dan terpelihara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS