Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang luar jangan campur hal johor, titah Sultan Ibrahim
Diterbitkan:  Mar 22, 2017 12:01 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihatkan 'orang luar Johor' supaya tidak campur tangan dalam negeri itu berhubung projek hartanah di Forest City.

Dalam temu bual dengan wakil agensi media di bawah Media Prima, baginda meminta anak jati Johor tidak terpengaruh dengan pihak yang berniat untuk memecahbelahkan mereka.

"Orang luar Johor saya nasihatkan sama ada bukan politik atau politik jangan campur hal Johor. Saya tahu apa yang baik untuk rakyat saya. Saya pandang rakyat saya bukan daripada segi politik... sebagai rakyat.

"Saya sayang rakyat saya. Bila orang luar datang Johor memecah belah orang Johor atau orang Johor yang duduk di Kuala Lumpur balik ke Johor, yang ada kepentingan politik dan memecah belahkan, bolehlah berambus.

"Kamu tidak dialu-alukan di sini. Bila cita-cita mereka tak tercapai, yang rugi adalah rakyat," titah baginda dalam wawancara disiar Berita Harian.

Baginda bertitah demikian ketika ditanya mengenai orang luar yang 'cuba menasihatkan rakyat Johor' berhubung projek hartanah di Forest City.

Sebelum ini, projek Forest City menerima kritikan terutama daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan status hak milik tanah dalam projek tersebut.

Mahathir turut berkunjung ke Forest City bagi membuktikan kerajaan negeri memberikan tanah hak milik kekal kepada orang asing.

Dalam tulisan di blog, pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu memuat naik gambarnya bersebelahan papan tanda yang mengiklankan hartanah hak milik kekal di Forest City dan mendakwa ini bercanggah dengan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam temu bual itu, Sultan Ibrahim turut ditanya mengenai rakyat Johor yang mungkin percaya dengan dakwaan bahawa baginda menjual tanah.

"Saya bukan ambil tanah percuma, saya jual. Saya ambil saya kira satu JV (perkongsian) saya untung kat situ.

"Jangan cemburulah saya untung bukan saya ambil tanah percuma, sesuka hati jual. Eh, saya tak ada jual. Tanah yang ada pun sesiapa beli pun bukan boleh bawa balik. Yang untung kerajaan, cukai penting, sewa pekerjaan yang akan dapat dan peniaga. Pandang ke situ..itulah hasil kerajaan belakang hari, bukan dia (orang asing) dapat kerakyatan Malaysia.

"Yang buat konsep Malaysia rumah kedua bukan saya. Tanyalah siapa yang berkenaan," ujar baginda.

Lihat Komen
ADS