Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Husam diarah keluar dewan
Diterbitkan:  Mar 22, 2017 3:17 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor Datuk Husam Musa diarahkan keluar dewan hari ini, kerana melanggar peraturan.

Pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) itu dilapor diminta berbuat demikian selepas meminta laluan ketika sesi penggulungan titah Pemangku Raja Kelantan yang dibuat Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Speaker, Datuk Abdullah Ya'kub mengarahkan Husam keluar dewan setelah mencelah ucapan itu walaupun telah diberi amaran beberapa kali, lapor Berita Harian.

Sementara itu, Abdullah yang dipetik Harakah Daily berkata, beliau sudah memberi ruang secukupnya kepada mana-mana ADUN mengambil bahagian membahas dan tidak berbangkit mana-mana wakil rakyat diketepikan untuk mengambil bahagian sebagaimana didakwa Husam.

“Ketika ditangguh mesyuarat petang semalam ADUN Salor tidak bangun untuk mengambil bahagian. Namun apabila Timbalan Speaker Abdul Latif Abdul Rahman menangguh petang semalam baru ADUN terbabit bangun hendak berucap.

“Dan hari ini ADUN berkenaan bangun lagi hendak berucap ketika pihak kerajaan sedang menggulung perbahasan,” kata Abdullah.

Ketika beliau meminta anggota exco menggulung perbahasan titah diraja selepas persidangan berhenti rehat jam 11.05 tadi, Husam bangun untuk berucap, tambah Abdullah.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat Datuk Hanifa Ahmad tidak memberi laluan memandangkan tempoh perbahasan sudah berakhir, jelasnya lagi.

Namun, Husam tetap berdiri dengan menyebut peraturan tetap dewan, ujar beliau.

Bagaimanapun, Husam ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu, namun menafikan beliau telah diberi amaran.

"Rupanya, harga soalan mengenai kelayakan exco agama Kelantan sangat mahal.

"Saya diiringi bentara dengan cokmar diusung, keluar dewan.

"Tanpa amaran. Saya 'diiring' keluar dewan undangan atas arahan speaker DUN kerajaan Islam Kelantan, dua tiga minit sebelum sidang ditamatkan," kata Husam lagi.

Ekoran tindakan tersebut juga Husam turut mempersoalkan apakah pentadbiran kerajaan negeri itu demokratik atau tidak.

"Sejarah tercipta oleh sebuah kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob.

"InsyaAllah, ia kekal menjadi rekod sama ada kerajaan ini demokratik atau menghayati semangat 'syura' atau ketiadaan kelayakan menjadikan pimpinannya takut dengan bayang bayang sendiri," tambah Husam.

Lihat Komen
ADS