Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Gergasi kereta China henti bidaan beli kepentingan Proton'
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 8:53 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group Co, dilaporkan telah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rancangannya untuk membeli kepentingan dalam Proton Holding dan menjadi rakan kongsinya.

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP) semalam, Presiden Geely, An Conghui mengesahkannya ketika syarikat itu mencatatkan keuntungan tertinggi dalam tempoh sembilan tahun.

Awal semalam, Geely, pemilik jenama Volvo Sweden, melaporkan pendapatan yang lebih baik daripada yang dijangkakan bagi 2016, dengan keuntungan bersih melonjak 126 peratus kepada 5.1 bilion yuan (RM3.28 bilion), lapor SCMP.

Bagaimanapun, An tidak menjelaskan sebab-sebab syarikatnya tidak meneruskan bidaan untuk membeli kepentingan dalam Proton.

Awal bulan ini, pengerusi dan pengasas Geely, jutawan Li Shufu dilaporkan mengkritik DRB-Hicom, pemilik Proton, kerana berkali-kali mengubah rancangannya.

"Mereka belum memutuskan apa yang mereka mahu," Li dipetik sebagai berkata dalam laporan Bloomberg.

Geely dispekulasi sebagai salah satu daripada dua pembida yang mahu membeli kepentingan majoriti dalam DRB-Hicom.

Pengeluar kereta kedua terbesar di Eropah, Groupe PSA, yang memiliki Citroen, Peugeot, dan jenama DS, juga membuat bidaan.

Menembusi pasaran SEA

SCMP melaporkan pembida yang berjaya akan mendapat akses kepada kilang pemasangan Proton di Tanjung Malim dan memberikannya akses penghantaran kenderaan bebas cukai ke mana-mana sahaja di kalangan negara Asean.

Ini, kata akhbar harian Hong Kong itu, adalah berfaedah kepada Geely yang "cita-cita utamanya ialah untuk mengembangkan kehadirannya di Asia Tenggara", demikian menurut penganalisis auto yang berpangkalan di Hong Kong di Sanford C Bernstein, Robin Zhu.

Menurut SCMP, Proton "bergelut dengan kemerosotan pasarannya di Malaysia serta gagal bersaing di luar negara".

Sementara itu, pendapatan Geely melonjak 78 peratus kepada 53.7 bilion yuan (RM34.54 bilion) di mana kumpulan itu menjual 765.970 kenderaan pada 2016, meningkat 50.2 peratus daripada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah ini, 744.191 unit telah dijual di peringkat domestik, naik 53.6 peratus berbanding 2015, demikian menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Saham Hong Kong, lapor SCMP.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS