Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akta 355: Najib jumpa komponen BN, tiada keputusan
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 10:19 AM
Dikemaskini: 4:24 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak semalam mengadakan pertemuan secara berasingan dengan pemimpin parti komponen BN berhubung isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, lapor Oriental Daily.

Akhbar harian itu memetik satu sumber sebagai berkata bahawa parti-parti komponen BN, terutamanya dari Sarawak, menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan pindaan Akta 355 itu.

Ekoran bantahan tersebut, tiada keputusan dibuat, dan meletakkan Najib dalam dilema, kata sumber itu.

"Perkara itu mungkin dibangkitkan lagi dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN," tambah sumber itu.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing mengesahkan pertemuan dengan Najib itu kepada Borneo Post tetapi enggan mendedahkan apa yang berlaku.

"Ya, semua ketua parti-parti politik BN dari Sarawak dan Sabah bertemu dengan perdana menteri mengenai RUU 355 (Akta 355). Bagaimanapun, butiran perbincangan itu belum lagi untuk pengetahuan awam," kata Masing.

Menurut Oriental Daily, Najib pada mulanya merancang untuk membentangkan pindaan di Parlimen pada 6 April, hari terakhir sesi parlimen kali ini, tetapi kini dijangka menangguhkannya.

Akhbar harian itu membuat spekulasi bahawa persidangan Dewan Rakyat mungkin dilanjutkan hingga 10 April, untuk memudahkan perbincangan mengenai perkara itu semasa permukiman pemimpin BN yang dijadualkan antara 7 April dan 9 April.

Setiausaha kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, memberitahu akhbar itu bahawa sesi Parlimen sekarang mungkin dilanjutkan.

Cadangan pindaan Akta 355 itu pada mulanya dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ia bertujuan untuk meningkatkan hukuman maksimum yang dikenakan oleh mahkamah Syariah kepada penjara 30 tahun, 100 sebatan dan denda RM100,000.

RUU itu kemudiannya telah diambil alih oleh kerajaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS