Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan P Pinang kecualikan cukai tafsiran rumah kos rendah
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 3:07 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Kerajaan Pulau Pinang hari ini memutuskan untuk memberi pengecualian cukai taksiran bagi tahun 2016 dan 2017 untuk rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah pangsa yang layak.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri memutuskan premis yang layak adalah yang bersaiz 700 kaki persegi dan ke bawah.

Selain itu, katanya, harga jualan asal kediaman tersebut adalah RM72,500 atau kurang, untuk layak menerima pengecualian ini.

"Pemilik premis ini boleh memohon kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk mendapat pengecualian jika masih menerima notis pembayaran cukai taksiran," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata sebanyak 80,000 notis pengecualian cukai taksiran telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang layak dan selainnya akan mengambil masa kira-kira dua minggu.

Chow berkata kesemua unit kediaman rumah pangsa di Blok 115, Jalan Kedah, di sini telah diperakukan untuk pengecualian cukai taksiran bagi 2016 dan 2017.

Beliau menerangkan bagi pemilik premis yang layak menerima pengecualian cukai taksiran tetapi telah membuat pembayaran, mereka perlu mengisi borang yang boleh didapati di MBPP dan MPSP untuk proses pemulangan wang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS