Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
21 kilang daging tercemar di Brazil tiada dalam senarai dilulus M'sia
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 5:58 PM
Dikemaskini: 10:17 AM

Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini mengesahkan 21 kilang pemprosesan yang terbabit dalam skandal daging tercemar di Brazil, tiada dalam senarai yang diluluskan jabatan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamarudin Md Isa berkata Kedutaan Brazil telah memaklumkan hanya 21 kilang yang sedang disiasat dan di bawah pemantauan ketat, selain telah digantung dari mengeksport.

Katanya perkara itu disampaikan pihak kedutaan kepadanya semasa melakukan kunjungan hormat ke atasnya bagi menjelaskan isu integriti dalam kalangan pengeksport daging Brazil, semalam.

"Kami juga telah meminta laporan rasmi daripada Kedutaan Brazil termasuk laporan ujian kualiti yang dijalankan di semua kilang yang telah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya dalam satu kenyataan.

Kamarudin berkata demikian sebagai mengulas isu berkaitan kualiti daging lembu dan ayam yang diimport dari Brazil berdasarkan laporan di media massa dan media sosial baru-baru ini.

Justeru, beliau menegaskan pihaknya sedang mengikuti secara terperinci perkembangan isu ini dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya perlu bagi memastikan daging lembu dan keratan ayam yang dibawa masuk adalah selamat.

Menurutnya, semua kilang yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah melalui pemeriksaan audit jabatan itu serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan senarai itu boleh didapati di laman web rasmi jabatan.

"Kilang-kilang ini telah menepati piawaian dari segi Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), keselamatan makanan, Sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Halal," katanya.

Kamarudin berkata pemeriksaan sijil kesihatan dan fizikal juga telah dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi setiap penghantaran daging lembu dan keratan ayam yang tiba di pintu-pintu masuk yang dibenarkan.

Beliau berkata pihaknya bersama MAQIS akan meningkatkan pemantauan di pintu-pintu masuk dengan mengambil sampel setiap penghantaran dari Brazil untuk dihantar ke makmal bagi memastikan daging lembu dan keratan ayam yang diimport menepati standard keselamatan makanan.

Pada tahun lalu, Malaysia mengimport 4,183 tan metrik (2.8 peratus dari jumlah diimport) daging lembu dan 9,742 tan metrik (17.3 peratus dari jumlah diimport) keratan ayam dari Brazil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS