Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rosmah: Program PERMATA demi kebajikan kanak-kanak

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan beliau melaksanakan Program Permata Negara (PERMATA) dengan ikhlas demi kebajikan dan pembangunan pendidikan kanak-kanak di negara ini.

"Saya boleh katakan, kami sudah melakukan banyak usaha untuk menjayakan PERMATA, saya melakukan semua ini ikhlas dari hati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Penghargaan dan Pelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) 2017 sempena sambutan Hari Wanita Sedunia di ibunegara semalam.

Lebih 1,000 tetamu hadir pada majlis tersebut yang turut dihadiri Penasihat Hal Ehwal Perpaduan dan Integriti Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie dan Presiden MCWEA Datin Seri Jessie Wong Siaw Puie.

Di majlis itu, MCWEA menganugerahkan Anugerah Wirawati Negara - Pembela Kanak-Kanak Malaysia 2017 kepada Rosmah atas sumbangan beliau dalam membangunkan program PERMATA.

Rosmah yang juga penaung PERMATA berkata anugerah itu memberikan kekuatan kepadanya untuk meneruskan program Permata.

Sementara itu, beliau berkata kedudukan wanita di negara ini kini berada pada tahap membanggakan, jauh lebih baik berbanding wanita di beberapa negara lain.

Katanya peningkatan akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan perubahan sosiobudaya dalam kalangan masyarakat membolehkan golongan wanita menyumbang secara aktif kepada pembangunan negara.

Beliau berkata perkara itu diperkukuhkan lagi dengan sokongan kerajaan yang sentiasa mengambil berat tentang isu dan kepentingan wanita selain mengiktiraf golongan tersebut sebagai rakan pembangunan negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS