DBKL sasar kurangkan pelepasan karbon 20 peratus

Bernama        

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada aktivitinya sebanyak 20 peratus melalui Pelan Pengurusan Karbon menjelang 2022.

Pengarah eksekutif (Perancangan) DBKL Datuk Mohd Najib Mohd berkata pelan itu, yang akan dilaksanakan tahun ini, akan dapat menjimatkan kos tenaga sebanyak RM10.6 juta setahun menjelang 2022.

"Menurut kajian Carbon Trust, Kuala Lumpur adalah antara bandar raya utama dunia yang menghasilkan pelepasan sekurang-kurangnya 75 peratus karbon dioksida daripada aktiviti di dalam bangunan, pengangkutan dan pencahayaan luarnya.

"Pelan ini mengandungi tindakan dan projek yang dilaksanakan DBKL bagi mengurangkan pelepasan itu serta kos berkaitan, termasuk menaik taraf bangunan, penggunaan LED bagi lampu jalan dan menaik taraf sistem penyejukan bebas karbon di dalam bangunannya.

"Kos bagi melaksanakan projek melalui pelan ini dianggarkan sebanyak RM64 juta, dengan jangkaan penjimatan kewangan sebanyak RM10.6 juta setahun menjelang 2022," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Pelan Pengurusan Karbon 2017-2022 di ibunegara semalam.

Beliau berkata sekiranya semua projek di bawah pelan itu dilaksanakan sepenuhnya, menurut kiraan, tempoh perolehan balik bagi pelaburan modal ialah enam tahun dan akan menghasilkan penjimatan jauh melebihi pelan sepanjang hayat
itu.

"Kami akan masukkan pengurusan karbon ke dalam struktur organisasi dan proses kami dengan menubuhkan sebuah Pasukan Petugas yang akan menyelia pelaksanaan Pelan Pengurusan Karbon," katanya.

Mohd Najib berkata pelan lima tahun itu akan menjadi rujukan dalam menyusun Rangka Tindakan Masyarakat Karbon Rendah Kuala Lumpur 2030, yang menetapkan cara bandar raya ini mengurangkan pelepasan karbonnya sebanyak 70 peratus menjelang 2030.

"Sebagai permulaan, kami menyasarkan untuk menjadi peneraju pengurusan karbon di Malaysia bagi mengatasi perubahan iklim dengan menggalakkan dan mendorong staf kami supaya mengurangkan pelepasan karbon sebelum melangkah ke pelan lebih besar bagi bandar raya Kuala Lumpur menjelang 2030," katanya.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In