Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Negara Korea Selatan menyaksikan bagaimana institusi parlimen memiliki kedudukan yang begitu penting dalam memelihara integriti, urus tadbir yang baik demi menjaga kepentingan awam daripada berlakunya penyelewengan, salah guna kuasa dan budaya rasuah.

Paling terkini, presiden negara ini telah disingkirkan melalui proses impeachment (pertuduhan pemecatan) yang mendapat dukungan dan sokongan kuasa rakyat.

Impeachment berkesan untuk menjadi pengawal kepada ketua negara sama ada oresiden ataupun perdana nenteri yang cenderung untuk melakukan salah guna kuasa.

Korea Selatan antara negara maju yang memberikan kuasa pemecatan (impeachment) kepada parlimen sepertimana juga Amerika Syarikat, Jepun dan New Zealand.

Impeachment adalah antara mekanisme perundangan yang menyumbang kepada konsep semak dan imbang dalam memastikan tercapainya urus tadbir yang baik dalam sesebuah negara.

Di negara kita, isu-isu mega seperti 1MDB dan MO1 tidak dizinkan oleh speaker untuk dibahas oleh anggota-anggota parlimen atas alasan subjudis.

Cuba bayangkan, isu yang sangat berkepentingan awam ini berlaku di Amerika Syarikat, Thailand atau Iceland, tentunya nasib ketua negara akan dikafankan oleh parlimen.

Setelah hampir 60 tahun umur parlimen Malaysia, tidak banyak perubahan besar berlaku bagi menganjak paradigma institusi ini sama ada di Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara.

Istilah rubber stamp bagi Dewan Negara masih kekal dan hanya tradisi yang dilanjutkan. Kalau ada pun pindaan terhadap peraturan mesyuarat masih lagi dianggap urusan runcit dan bukannya reformasi yang bersifat menstruktur.

Pelantikan speaker pula kebanyakannya atas dasar membalas budi dan jasa tokoh-tokoh tertentu, memenuhi kuota parti tertentu atau habuan politik di hujung usia.

Sepatutnya pemilihan speaker diteliti daripada segi keupayaan membuat perubahan, keberanian memecah tradisi usang dan pencetus pemikiran baru demi mengangkat institusi parlimen kita ke mata dunia.

Jawatan speaker bukan hanya mempengerusikan sidang mesyuarat seperti pengerusi PIBG.

Mungkin kita boleh menoleh sejenak beberapa perubahan besar yang telah berlaku di DUN Selangor yang boleh menjadi contoh yang baik.

Hannah Yeoh sebagai Speaker DUN walaupun baru dan masih muda tetapi punya idea besar dan berani bagi meletakkan asas yang mengangkat nama baik DUN Selangor.

Tradisi pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) telah diubah. ADUN Pembangkang diberikan peluang mengetuainya.

Peranan institusi ketua pembangkang telah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya untuk melakukan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan.

Walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan, Hannah telah memulakan langkah seorang reformis yang berani.

Malaysia memerlukan seorang reformis untuk menjawat jawatan speaker bagi parlimen kita. Speaker mesti mampu menjadi pencetus perubahan yang membawa agenda reformasi yang menstruktur semula peranan parlimen.

Agenda besar seperti pelaksanaan impechment, perdana menteri hanya untuk dua penggal dan pelantikan serta pengawalan penjawat-penjawat awam yang penting seperti peguam negara, ketua polis negara, ketua pengarah SPRM dan lain-lain wajar dilakukan segera.

Parlimen Malaysia bukan sekadar mampu berbangga dengan bilik persidangan yang hebat dan mewah tetapi masih jauh terkebelakang dalam memelihara amanah dan mandat rakyat.

Krisis integriti negara di jendela dunia semakin jelas wajah hodohnya. Sekiranya institusi parlimen kita kekal di paras lama, kelak akhirnya kita ditertawakan selamanya.


SALAHUDDIN AYUB timbalan presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS