Paling Popular
Terkini

Seorang hakim imigresen AS di Chicago semalam membenarkan permohonan suaka seorang blogger Singapura, dengan berkata dia telah dianiaya kerana pandangan politiknya di republik itu.

Amos Yee, 18, yang telah dipenjarakan dua kali di Singapura, layak sebagai pelarian politik, menurut pendapat 13 halaman hakim imigresen AS itu.

Yee layak dibebaskan serta-merta setelah ditahan imigresen AS pada 16 Disember 2016, kata peguamnya, Sandra Grossman, yang berpejabat di Bethesda, Maryland.

Kedutaan Singapura di Washington tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen selepas waktu pejabat semalam.

Hakim Samuel Cole memutuskan bahawa pendakwaan, penahanan dan penganiayaan terhadap Yee oleh pihak berkuasa Singapura "merupakan penganiayaan atas sebab pendangan politik Yee," dan menyifatkan beliau sebagai "penentang muda politik".

"Bukti yang dikemukakan dalam perbicaraan itu menunjukkan pendakwaan Singapura terhadap Yee adalah alasan untuk menutup mulut mengenai pandangan politiknya yang kritikal terhadap kerajaan Singapura," tulis Cole.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS telah membantah permohonan suaka Yee, dengan mendakwa kerajaan Singapura telah mendakwa Yee secara sah.

Grossman berkata keputusan hakim itu menyokong hak individu untuk mengkritik kerajaan mereka.

"Hak untuk bebas bersuara adalah suci, walaupun bila ucapan tersebut dianggap menyakitkan hati," katanya dalam e-mel. "Keputusan itu tepat pada masanya menekankan keperluan penting bagi sistem kehakiman yang bebas dalam fungsi demokrasi."

Yee telah ditahan oleh pihak berkuasa AS sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa O'Hare Chicago, untuk mencari suaka politik. "Dia pada mulanya ditahan di Illinois, tetapi kini ditahan di Pusat Tahanan Dodge County di Juneau, Wisconsin," kata Grossman.

Yee telah dipenjara dua kali di Singapura kerana komen dalam talian. Perbicaraannya yang diikuti secara dekat oleh kumpulan hak asasi dan Bangsa-Bangsa Bersatu, telah menyemarakkan perbahasan di Singapura mengenai penapisan, had kebebasan bersuara dan kebenaran politik.

Pada bulan September tahun lepas, Yee mengaku bersalah terhadap enam tuduhan sengaja menghantar komen di internet - dalam video, posting blog dan gambar - yang kritikal terhadap agama Kristian dan Islam. Dia dijatuhi hukuman enam minggu penjara.

Pada tahun 2015, Yee didapati bersalah atas tuduhan gangguan dan menghina sebuah kumpulan agama berhubung komen yang dibuatnya mengenai bekas Perdana Menteri Lee Kuan Yew dan Kristian tidak lama selepas kematian Lee. hukumannya adalah empat minggu penjara.

[Baca berita penuh]

- Reuters

Lihat Komen
ADS