Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rahman dedah peranan dalam perjanjian AS$7 bilion Aramco

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata beliau berada di tempat dan masa yang betul apabila perjanjian pelaburan bernilai AS$ 7 bilion dengan Saudi Aramco tidak berjalan seperti dirancang.

Abdul Rahman berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan beliau ke Riyadh pada akhir 2016 selepas rundingan perjanjian itu, yang telah berlangsung selama kira-kira dua tahun, berjalan dengan perlahan.

"Saya bertanya kepada mereka (apa yang masalah ini). Walaupun mereka tak mahu beritahu secara langsung dalam mesyuarat itu, tetapi di luar mesyuarat itu, mereka beritahu saya mereka bimbang tentang keadaan ekonomi negara kita.

"Kita bernasib baik kerana perjanjian Saudi Aramco-Petronas adalah antara (rundingan) kerajaan dengan kerajaan kerana Saudi Aramco dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi, manakala Petronas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

"Oleh itu saya sebagai menteri, mempunyai peluang untuk menjadi pengadil bagi kedua-dua belah pihak. Oleh kerana saya berada di sana pada masa yang betul, tempat yang betul, saya berjaya mengurangkan jurang salah faham," kata beliau di Shah Alam hari ini.

Ahad lalu, Najib mendakwa rancangan Saudi Aramco untuk melabur AS $ 7 bilion bagi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) Petronas hampir musnah kerana "maklumat yang salah" tentang Malaysia.

Antara dakwaan tersebut adalah ekonomi Malaysia berisiko dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berada di ambang muflis.

Beliau menyalahkan perkara itu dilakukan oleh individu yang didakwanya "tidak patriotik".

Abdul Rahman berkata beliau bersyukur kerana perjanjian itu akhirnya dimeterai.

"Bolehkah anda semua bayangkan jika Saudi Aramco tidak datang (untuk melabur), berapa banyak pekerjaan akan hilang?" katanya.

Perjanjian itu ditandatangani pada 28 Februari semasa lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia.

Lihat Komen
ADS