Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Resolusi EU mengenai minyak sawit berat sebelah'

Cadangan resolusi Parlimen Kesatuan Eropah (EU) menekankan keperluan pensijilan tunggal disifatkan langkah diskriminasi dan
berat sebelah terhadap eksport minyak sawit Malaysia ke benua itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, tindakan Parlimen EU tersebut menimbulkan kebimbangan kepada negara ini.

"Bagi saya ia tidak adil apabila mereka (EU) mahu menetapkan pensijilan
sendiri sebelum boleh memasuki pasaran EU. Malaysia, sebagai pengeluar minyak sawit berhak mengeluarkan pensijilan itu, bukannya Eropah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hello Komoditi Teluk Intan yang dihadiri lebih 100 pekebun kecil dan usahawan yang bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran berhubung sektor komoditi di Dewan Bandaran Teluk Intan hari ini.

Resolusi itu yang dijadual dibentangkan pada April nanti, antara lain
merangkumi syarat pelabelan makanan, yang menunjukkan minyak sawit dihasilkan secara lestari melalui pembungkusan atau maklumat yang boleh diakses melalui ciri-ciri teknologi.

Mah berkata, Malaysia membantah keras resolusi itu kerana ia
akan memberi kesan negatif ke atas eksport minyak sawit ke EU dan kesan amat buruk ke atas ekonomi negara pengeluar.

"Saya bimbang jika Parlimen EU meluluskan usul itu, ia akan menjadi suatu cabaran besar kepada industri sawit kita. Kita juga telah mengadakan dialog dengan pihak berkenaan supaya usul dibawa itu disifatkan diskriminasi terhadap kelapa sawit," katanya.

Mah berkata, selain mempertahankan kepentingan minyak sawit negara ini, kerajaan juga berhasrat membangunkan pensijilan negara bagi meningkatkan standard di kalangan pekebun kecil agar produk sawit mudah mendapat akses ke pasaran EU.

Berikutan itu, jelasnya, kerajaan kini giat menganjurkan lebih 100 taklimat
dan siri jelajah sehingga tahun depan, bagi mewujudkan kesedaran di kalangan 600,000 pekebun kecil sawit mengenai pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Menurutnya lagi, MSPO merupakan kod undang-undang standard mengenai amalan terbaik mulai penanaman kelapa sawit hingga ke pemprosesan minyak sawit dan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2018.

Mah turut menegaskan jaminan kepada EU bahawa produk itu sahaja selamat dan sihat, tetapi juga diusahakan mengikut amalan pertanian yang baik.

Pada 2016, EU merupakan destinasi eksport yang penting bagi minyak sawit Malaysia, berjumlah 3.63 juta tan metrik yang bernilai RM10.3 bilion, naik 4.14 peratus berbanding RM9.89 bilion pada tahun sebelumnya. -Bernama

Lihat Komen
ADS