Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Azizah: Mana janji k'jaan jaga kebajikan pesara polis?
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 10:26 PM
Dikemaskini: 2:34 PM

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan janji kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang bagi menjaga kebajikan pesara dan bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Wan Azizah berkata demikian sempena sambutan ulang tahun PDRM yang ke-210 hari ini.

"Mengikut laporan media 7 Februari 2014, timbalan menteri dalam negeri waktu itu berkata bahawa kerajaan sedang mengkaji draf bagi satu akta baru untuk menjaga hal-ehwal pesara dan bekas polis dengan lebih baik serta tersusun.

"Namun hingga ke hari ini kita belum mendengar status draf tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah berkata, kebajikan pegawai polis dan keluarga mereka bukan sahaja perlu dijaga, tetapi juga dipertingkatkan.

"Gaji dan elaun anggota PDRM terutama yang berpangkat rendah perlu dikaji semula dan diselaraskan berdasarkan inflasi dan harga barang yang semakin meningkat hari ini," katanya.

Khamis lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed memberitahu parlimen bahawa pegawai polis yang mengambil pinjaman daripada sumber haram berisiko dipecat dalam usaha untuk menjaga nama baik polis.

Ini berikutan masalah hutang yang tinggi di kalangan pegawai polis berpangkat rendah.

Wan Azizah juga menekankan keperluan memperbaiki pasukan polis, termasuk menangani insiden kematian dalam tahanan.

Salah satu penyelesaian itu, katanya, adalah memperkenalkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

Beliau juga menggesa polis menyegerakan siasatan berhubung dua siri penculikan baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS