Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ledakan inflasi 4.5%: Pemuda AMANAH mahu GST dihapuskan
Diterbitkan:  Mar 26, 2017 1:59 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil mengulangi gesaan agar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan di tengah-tengah ledakan kadar inflasi 4.5 peratus pada bulan Februari 2017.

"GST merupakan faktor utama kenaikan harga barang secara mendadak sekarang. Kutipan GST yang dianggarkan RM38 bilion bagi tahun 2016 menunjukkan betapa tingginya perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan rakyat.

"Justeru, Pemuda AMANAH berpendapat bahawa anak muda dan golongan B40 adalah golongan yang paling terkesan dengan peningkatan inflasi ini.

"Apatah lagi, golongan muda yang kini bergelut dengan krisis pengangguran, mekanisma bayaran balik pinjaman pendidikan yang menekan serta dan harga rumah yang tinggi. Maka, sewajarnya GST dihapuskan dan subsidi minyak dikembalikan," jelasnya dalam kenyataan.

Beberapa hari yang lalu, Reuters melaporkan, indeks harga pengguna Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari iaitu 4.5 peratus.

Kadar inflasi tahunan pada bulan lepas itu adalah yang tertinggi sejak November 2008 setelah ia mencecah 5.7 peratus sebelum menjunam dan mengalami trend bulanan turun dan naik sebelum melonjak ke paras 4.5 peratus pada bulan lalu.

Pada bulan Januari yang lalu, kadar inflasi tahunan ialah 3.2 peratus.

Pakar ekonomi berkata, kenaikan harga bahan api pada bulan Februari dan asas yang rendah ekoran daripada pemotongan kos pengangkutan dari tahun lepas telah menyumbang kepada kadar inflasi yang tinggi pada bulan tersebut.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, kadar inflasi itu merupakan indikasi kehidupan rakyat akan semakin susah dan tertekan akibat kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

"Peningkatan inflasi yang berterusan juga adalah indikator ketidak stabilan ekonomi negara yang boleh membawa kepada krisis ekonomi.

"Keadaan ekonomi negara yang tidak stabil dikaitkan dengan kejatuhan nilai ringgit akibat kehilangan kepercayaan pelabur berikutan skandal penyelewengan yang melibatkan Perdana Menteri di dalam kes 1MDB.

Oleh itu, pihaknya percaya peningkatan inflasi sebagai satu krisis yang perlu diatasi segera, ujar Faiz.

"Belanjawan tambahan RM3 bilion perlu disalurkan kepada subsidi minyak dan bukannya kepada projek-projek pembaziran agar harga minyak dapat diturunkan dan sekaligus dapat membantu meringankan perbelanjaan poket rakyat.

"Ini adalah kerana minyak adalah komoditi asas bagi rakyat yang nilainya mempunyai kesan 'domino'," jelasnya.

Lihat Komen
ADS