Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan akan putuskan segera mayat Jong-nam - Subramaniam

Kerajaan dijangka memutuskan segera tindakan ke atas mayat Kim Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin Korea Utara, kata
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Katanya perbincangan masih dijalankan dengan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan Korea Utara.

"Saya rasa kita akan membuat pengumuman segera, mungkin secepat hari ini mengenai keputusan kerajaan.

"Beberapa keputusan sudah dicapai dan saya yakin satu pengumuman akan dibuat segera. Pengumuman mungkin dibuat secepat hari ini," katanya selepas merasmikan pembinaan bangunan baru SJK (T) Bangi, di sini hari ini.

Ditanya sama ada mayat Jong-nam akan dihantar ke Korea Utara, Dr Subramaniam berkata: "Saya tidak tahu tetapi dimaklumkan satu keputusan akan dibuat segera. Besar kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkannya."

Beliau berkata apa juga keputusannya, fakta dan akibat daripada pembunuhan itu masih kekal dan Kementerian Kesihatan akan mematuhinya.

Dr Subramaniam berkata faktanya kekal seorang warga Korea Utara datang ke Malaysia dan mati akibat racun saraf dan kematiannya telah dibuktikan oleh ujian toksikologi dan laporan bedah siasat.

"Kami konsisten dan pasti dengan penemuan itu. Kes membabitkan seorang wanita Indonesia dan Vietnam tetap akan berjalan," katanya.

Dr Subramaniam berkata banyak peluang telah diberi kepada waris Jong-nam untuk menuntut mayatnya dan jika mereka tidak tampil, kerajaan perlu membuat keputusan.

Satu laporan media Jepun menyatakan beberapa pegawai Korea Utara berada di Kuala Lumpur untuk berbincang dengan kerajaan Malaysia mengenai kes Jong-nam.

Pada 13 Feb lepas, Jong-nam dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika menungggu penerbangan untuk ke Macau.

Dia dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX. Jong-nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
-Bernama

Lihat Komen
ADS