Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Bukit Mertajam pula putus hubungan dengan PKR
Diterbitkan:  Mar 26, 2017 3:59 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

PAS kawasan Bukit Mertajam menjadi kawasan kesembilan yang sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan politik atau tahaluf siyasi dengan PKR di Pulau Pinang.

Keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat agung tahunan PAS kawasan tersebut pagi ini yang turut dihadiri Yang Dipertuanya, Mohd. Yusni Mat Piah, lapor Utusan Online.

Sebelum ini, antara kawasan PAS yang meluluskan usul memutuskan hubungan politik dengan PKR adalah Nibong Tebal, Permatang Pauh, Bayan Baru dan Bukit Bendera.

Turut berbuat demikian adalah PAS kawasan Balik Pulau, Jelutong, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Beberapa hari yang lalu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, walaupun keretakan hubungan antara PKR dan PAS dilihat semakin meluas, beliau yakin kemelut itu dapat diselesaikan dengan cara berbincang.

Ujar Mohamed Azmin yang juga menteri besar Selangor, tradisi berbincang bagi mencari penyelesaian kepada sesuatu masalah perlu diteruskan oleh kedua-dua pihak dan tidak perlulah mana-mana pihak berlawan-lawan mengeluarkan kenyataan yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada mana-mana parti.

Hubungan antara kedua-dua parti yang dilihat tegang kebelakangan ini selepas PKR tetap dengan keputusan untuk menjalin kerjasama dengan Parti Amanah Negara, DAP dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia yang membentuk Pakatan Harapan.

Kemelut berkenaan semakin meruncing apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa parti berkenaan akan menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Mohamed Azmin pula, tanpa menamakan mana-mana individu, di laman sosial miliknya yang memuat naik kenyataan 'Ada pak lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur' yang kemudian menimbulkan pelbagai reaksi.

Lihat Komen
ADS