Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Barisan Rakyat? Lim mahu sahkan berita dulu
Diterbitkan:  Mar 26, 2017 6:31 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata beliau akan mengesahkan laporan berita mengenai cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menamakan semula "Pakatan Harapan" sebagai "Barisan Rakyat".

"Kadang-kadang, laporan berita tidak tepat ... (ia boleh jadi) hanya mainan yang dimainkan oleh media pro-BN," katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata sejak BERSATU secara rasmi menjadi sebahagian daripada HARAPAN, pemimpin dari empat parti itu belum berjumpa.

Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mencadangkan gabungan pembangkang dinamakan "Barisan Rakyat" bagi menentang Barisan Nasional (BN), walaupun beliau tidak menjelaskan motif di sebalik cadangan itu.

Muhyiddin berkata cadangan itu memerlukan persetujuan sekutu BERSATU iaitu DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR.

Sebelum ini, Presiden BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mencadangkan nama baru difikirkan untuk menggantikan HARAPAN dan logo yang sama digunakan untuk mewakili empat parti itu.

HARAPAN yang ditubuhkan pada tahun 2015, menerima BERSATU secara rasmi pada Isnin lepas.

Pemimpin-pemimpin parti itu juga berharap gabungan itu didaftar secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Lihat Komen
ADS