Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
SPRM kenal pasti individu cuba rasuah Sultan Johor
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 11:56 AM
Dikemaskini: 6:02 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan ketua pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad hari ini menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar berhubung maklumat baginda bahawa ada individu yang terlibat berkaitan rasuah untuk mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

“Di dalam pertemuan tersebut, pihak SPRM telah memperolehi maklumat yang berkaitan daripada baginda dan telah mengenalpasti individu yang terlibat,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya itu juga memberi jaminan bahawa siasatan telus akan dijalankan berkenaan perkara itu dan tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang.

SPRM juga merakamkan sanjungan tinggi terhadap sokongan penuh baginda serta komitmen
berterusan baginda dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa
di negara ini, amnya, dan di negeri Johor, khususnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan perjumpaan itu berlangsung di sebuah lokasi di ibu negara.

Dzulkifli tiba di lokasi berkenaan pada 8.30 pagi dan berada bersama baginda sehingga kira-kira 9.40 pagi namun beliau enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu ketika ditanya pemberita.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim meninggalkan kediaman baginda pada kira-kira 10.20 pagi dan enggan mengulas lanjut ketika ditanya media mengenai pertemuan itu.

Baginda hanya bertitah: "I am going shopping."

Pada 25 Mac lalu, menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook, Sultan Ibrahim bertitah baginda mahu SPRM menghadap baginda segera supaya perkara terbabit dapat disiasat.

Sultan Johor baru-baru ini mendedahkan baginda menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara bagi mendapatkan gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama

Lihat Komen
ADS