Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Turun padang bantu rakyat, kata Rosmah kepada BAKTI
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 7:36 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor meminta anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) membantu suami masing-masing dengan 'turun padang' untuk mendengar masalah rakyat.

Rosmah yang juga Yang Dipertua BAKTI berkata, anggota badan amal itu perlu melakukan perkara itu secara sukarela dan penuh dengan keikhlasan bagi membolehkan mereka mendapat maklumat dari bawah dan seterusnya dapat membantu mengatasi masalah rakyat.

"Paling penting, apabila turun ke padang menjenguk rakyat, kita harus ikhlas dan sukarela.

"Bagi saya, sekiranya kita mempunyai kesedaran untuk membantu rakyat, keinginan itu akan datang sendiri tanpa perlu dikerah," katanya pada mesyuarat agung BAKTI ke-40 di bangunan rasmi badan itu, hari ini.

Mesyuarat yang dihadiri lebih 70 anggota BAKTI itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching.

Rosmah juga berkata adalah menjadi lumrah bagi anggota BAKTI iaitu sebagai isteri kepada pemimpin negara untuk berdepan dengan pelbagai fitnah dan tohmahan ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Namun, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan nama baik suami dan keluarga.

"Ini termasuklah juga mempertahankan nama baik parti dan pemimpin di mana suami kita turut berada di dalam pasukannya," katanya.

Beliau berkata dalam menghadapi cabaran masa ini, sewajarnya anggota BAKTI terus memperkukuhkan solidariti dan sentiasa bersatu dalam setiap situasi.

Menurutnya anggota BAKTI juga perlu mempertingkatkan ilmu dan mendalami kemahiran yang relevan dengan tuntutan zaman ini, termasuklah menguasai kemahiran penggunaan teknologi komunikasi seperti media sosial.

- Bernama

Lihat Komen
ADS