Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS minta kerajaan kaji semula operasi panggung wayang

Anggota Dewan Undangan Negeri Alor Limbat Ariffin Deraman daripada PAS hari ini meminta kerajaan negeri mengkaji semula operasi panggung wayang di PB Sentral di Kuala Terengganu.

Ariffin juga mahu penjelasan daripada kerajaan negeri akan kepentingan panggung wayang beroperasi di Terengganu memandangkan sudah 22 tahun negeri itu tidak mempunyai panggung wayang.

"Seingat saya, 22 tahun dah kita tak ada panggung wayang, masa saya kecil dahulu ada panggung wayang Rex dan Cathay...dah lama tak ada, kenapa perlu operasi semula?

"Saya risau ia hanya akan menyumbang kepada peningkatan masalah sosial dalam kalangan remaja," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau yang membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, berkata operasi panggung wayang itu dikhuatiri memburukkan lagi masalah sosial di negeri berkenaan.

Panggung wayang di PB Sentral itu dikendalikan oleh Lotus Five Star Cinemas bermula 18 Mac lalu menyediakan 11 dewan yang akan dibuka secara berperingkat.

Ariffin juga mempertikaikan tempat duduk penonton yang bercampur lelaki dan perempuan yang disifatkannya sama seperti panggung wayang 22 tahun dahulu.

"Ada negeri-negeri yang mensyaratkan kepada pengusaha panggung wayang supaya asingkan kerusi penonton lelaki dan perempuan, malah panggung wayang juga perlu dalam keadaan cerah.

"Jadi, saya haraplah kerajaan negeri dapat tengok semula mengenai hiburan baru ni (panggung wayang). Walaupun ada kamera litar tertutup, pastikanlah suasananya cerah," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS