Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rang undang-undang pindaan kebankrapan dilulus

PARLIMEN | Rang Undang-undang (Pindaan) Kebankrapan 2016 yang antara lain memberi perlindungan kebankrapan terhadap penjamin sosial dilulus Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata rang undang-undang itu merupakan satu pembaharuan yang mewujudkan sistem yang lebih adil kepada golongan tersebut.

"Sebab bila kita tengok definisi penjamin sosial itu...dia bukannya penjamin berasaskan keuntungan, tapi dia menjamin kerana pinjaman biasiswa, penyelidikan, itu sebenarnya kita tengok dalam definisi," katanya ketika menggulung rang undang-undang itu.

Bagaimanapun, beliau berkata penjamin sosial masih berhadapan dengan proses undang-undang yang lain bagi mengelak mereka menyalahgunakan pindaan undang-undang ini.

"Mungkin dia tidak dibankrapkan, tetapi tindakan lain masih berjalan, akta ini tidak kata sebab dia penjamin sosial, semua tindakan tidak boleh diambil," katanya.

Azalina berkata kerajaan turut mempertimbang memberi pelepasan daripada kebankrapan tanpa prosedur bantahan oleh pemiutang bagi golongan bankrap termasuk penjamin sosial, yang telah meninggal dunia, orang kelainan upaya yang disahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan penghidap penyakit kronik yang disahkan pegawai perubatan.

Beliau berkata mengikut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, sehingga Februari lepas, terdapat 292,086 kes kebankrapan aktif dan bankrap yang masih belum dilepaskan dengan 58.57 peratus berumur 25 sehingga 44 tahun.

"Kerajaan amat prihatin isu kebankrapan terutama mereka yang diisytihar bankrap disebabkan menjadi penjamin kepada peminjam yang gagal menjelaskan pinjaman, golongan ini tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya," katanya.

Justeru, Azalina berkata kerajaan merangka strategi bagi mentransformasikan kerangka perundangan lama kepada perundangan moden sejajar dengan perkembangan perundangan antarabangsa dan peredaran semasa.

Beliau berkata, perancangan strategik kerajaan akan memberi impak kepada ekonomi negara dan masyarakat selaras agenda kerajaan dalam Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-11.

Dalam merangka pindaan terhadap rang undang-undang berkenaan, beliau menarik perhatian bahawa Jabatan Insolvensi Malaysia dengan pihak berkepentingan telah mengadakan sesi perbincangan dan maklum balas diterima diteliti dan dipertimbang sebelum pembentangan dilaksana.

"Bagi menjayakan pelaksanaan rang undang-undang ini, suatu transformasi minda diperlukan dari semua pihak bagi memastikan pentadbiran kes-kes kebankrapan di Malaysia bertaraf dunia dan menjadi model terbaik antarabangsa," tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS