Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
RUU355: PAS tak terjejas sama sekali, kata Nasrudin
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 9:08 AM
Dikemaskini: 1:11 AM

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, tindakan dewan tertinggi BN yang memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 tidak menjejaskan apa-apa bagi parti itu.

"Situasinya adalah "kekal pada format asal". Sememangnya, ahli Parlimen PAS sejak awal telah diletakkan dalam 'mode standby' bagi menghadapi perbahasan di parlimen.

"Hanya beza jika kerajaan BN bentang, maka ia menjadi rang undang-undang kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika PAS yang membentangnya, ia kekal seperti asal iaitu rang undang-undang persendirian maka gilirannya ditentukan oleh yang dipertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan," katanya dalam kenyataan.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dewan tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

"Dewan tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya)," kata Najib di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam tadi.

Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, sekali lagi musuh politik PAS dengan pantas mengatakan kononnya PAS menjadi mangsa 'permainan' Umno dan BN.

"Entahlah, mana satu yang betul. Jika PAS bentang, mereka kata PAS diperalat oleh Umno dan BN, kenapa tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke Parlimen. Bukankah Umno menyokong maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS.

"Apabila TPM umum kerajaan BN yang akan bentang pindaan Akta 355, mereka juga "meloncat tidak ketahuan punca" kononnya PAS kena kencing oleh Umno. Pada mereka, serba tidak kena," jelas beliau.

Tegas Nasrudin, sikap PAS tidak berubah dan persediaan parti itu tidak terjejas dalam hal itu.

"Pertengahan jalan kerajaan mahu mengambil alih, PAS tidak bermasalah siapa yang mahu membentangkannya. Apa yang penting Akta 355 mesti dan berjaya dipinda.

"Kemudiannya, mereka tidak jadi mengambil alih. Ianya mengembalikan format asal tanpa merosakkan sesuatu. InsyaAllah, PAS akan meneruskan langkahnya menuju destinasi dengan langkahan bergaya tanpa tempang," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS