Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Firma udang nafi dapat RM55j dari tuntutan berganda
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 9:37 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

Firma ternakan udang, Hannan Corporation Sdn. Bhd. (HCSB) menafikan membuat tuntutan berganda berjumlah RM 55 juta seperti yang didakwa oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh lembaga pengarah syarikat itu, ia memberi gambaran seolah-olah HCSB dengan sengaja memperdayakan kerajaan untuk membuat tuntutan berganda ke atas projek yang sama.

"Hakikatnya, HCSB telah menandatangani perjanjian dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada Januari 2011. Di dalam perjanjian ini, HCSB hendaklah membayar balik pembiayaan dari NCIA ini dalam bentuk levi hasil jualan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Apabila projek dimulakan sekitar bulan April 2011 (setelah laporan EIA diluluskan), HCSB telah dihubungi oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) untuk menyertai program NKEA.

"HCSB telah menghantar salinan perjanjian di antara HCSB dan NCIA kepada pihak DOF untuk penelitian Penasihat Undang-undang DOF dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Setelah penelitian dibuat, surat tawaran kepada HCSB telah dikeluarkan dan perjanjian telah ditandatangani pada Oktober 2011," kata lembaga pengarahnya.

Berkaitan kos projek yang berbeza adalah kerana jumlah komponen bagi kedua-dua pembiayaan adalah berbeza dan kos berkenaan telah dirujuk kepada kadar unit yang dikeluarkan pihak JKR, jelasnya lagi.

Baru-baru ini, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin berkata, HCSB mendapat lebih RM55 juta menerusi tuntutan berganda ke atas projek ternakan udang yang sama.

Hasan berkata, HCSB telah memaklumkan kepada NCIA bahawa kos projeknya adalah RM150 juta dan menyertai kontrak pada bulan Januari 2011.

Kemudian, pada Oktober 2011, syarikat itu memeterai perjanjian dengan NKEA dengan menyatakan projek-projek tersebut menelan belanja RM353 juta, jelasnya.

"Didapati syarikat itu membuat tuntutan untuk beberapa komponen yang sama dari NCIA dan NKEA," kata Hasan sambil menjelaskan sehingga kini, HCSB telah menerima sejumlah RM25 juta daripada NCIA dan RM31 juta daripada NKEA.

Kata Hasan lagi, syarikat itu tidak mempunyai kepakaran atau pengalaman yang berkaitan dengan industri perikanan.

HCSB memperoleh pembiayaian dua projek akuakultur di Kerian, Perak daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi Negara (NKEA).

Ladang-ladang ternakan udang tersebut, masing-masing dikenali sebagai Kompleks Akuakultur Selinsing (KAS) dan Kompleks Akuakultur Pulau Gula (KAPG).

Mengulas lanjut, kata HCSB, cuma terdapat satu komponen yang disedari sekitar awal tahun 2016 iaitu ‘jalan masuk’ telah dibayar oleh kedua-dua agensi iaitu NCIA dan NKEA.

"Setelah dimaklumkan tentang perkara ini, HCSB telah menulis kepada DOF agar memotong bahagian NKEA yang telah dibayar berganda, iaitu sebanyak RM 541,695.00. Tiada balasan dari pihak DOF yang diterima berkaitan surat tersebut," katanya.

Berkaitan kenyataan bahawa HCSB tiada pengalaman, sebelum memulakan projek, pengarah HCSB telah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh Blue Archipelago dan mengadakan usahasama dan latihan di Indokom di Lampung, Indonesia, katanya.

Tambahnya, ia bertujuan membangunkan ‘Standard Operation Procedure’ tersendiri bagi HCSB selain usahasama juga dilakukan dengan Institut Teknologi Bandung (Akuakultur), Institut Pertanian Bogor dan Universiti Malaysia Terengganu.

Setakat ini, katanya, HCSB telah berjaya dengan penghasilan sebanyak 10 metrik tan/hektar dan telah mengekspot hasil udang proses ke Jepun dengan piawaian yang ketat.

"Terkini, HCSB telah berjaya menghasilkan prototaip sistem kolam yang moden, dapat mengurangkan risiko penyakit dan berdaya saing. Kejayaan ini telah diakui secara bertulis oleh pakar-pakar akuakultur," ujarnya.

Justeru, tegasnya, HCSB telah menjalankan kerja-kerja pembinaan dengan penuh amanah dan mengikuti syarat-syarat ketat yang digariskan oleh NKEA.

"Dengan itu, HCSB meminta agar PAC dapat membetulkan kekeliruan yang timbul seterusnya membersihkan nama syarikat," katanya.

Lihat Komen
ADS