Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sedarlah dari 'mimpi indah', kata AMK S'gor kepada PAS
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 10:07 AM
Dikemaskini: 2:42 AM

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyeru PAS agar 'tersedar daripada mimpi indah' bahawa Umno akan membantu parti itu dalam usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Ketua Biro Guaman AMK Selangor, Muhd Harris Idaham Abd Rashid berkata, Umno tidak akan membantu PAS dalam isu tersebut kerana takut untuk berpisah dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain iaitu MCA, MIC dan Gerakan.

"Maka, ayuhlah kita bersama kembali kepada asas perjuangan iaitu menjatuhkan BN. AMK Selangor bersependapat dengan pandangan pimpinan pusat PKR mengenai tahaluf siyasi bersama PAS wajib diperkukuhkan.

"Buang yang keruh ambil yang jernih, mari kita jadikan 'platform' pemuda ini untuk kita mulakan satu semangat tahaluf siyasi yang baru demi Malaysia yang lebih baik.

"Tidak ada strategi lain yang lebih efektif selain semua parti pembangkang bersatu teguh menentang BN dan memastikan pilihanraya satu lawan satu di setiap kerusi DUN dan Parlimen di Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Awal hari ini, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan berkata, tindakan dewan tertinggi BN yang memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 tidak menjejaskan apa-apa bagi parti Islam itu.

"Situasinya adalah "kekal pada format asal". Sememangnya, ahli Parlimen PAS sejak awal telah diletakkan dalam 'mode standby' bagi menghadapi perbahasan di Parlimen.

"Hanya beza jika kerajaan BN bentang, maka ia menjadi rang undang-undang kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika PAS yang membentangnya, ia kekal seperti asal iaitu rang undang-undang persendirian maka gilirannya ditentukan oleh yang dipertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan dewan," katanya dalam kenyataan.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan dewan tertinggi BN memutuskan kerajaaan tidak akan mengambil alih pembentangan usul meminda Akta 355 selaras dengan dasar dan amalan BN yang menetapkan semua keputusan mesti dibuat secara konsensus.

"Dewan Tertinggi BN malam ini membincangkan dan memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan konsensus.

"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi bil (rang undang-undang) persendirian dan terserah kepada speaker (Dewan Rakyat) untuk menentukan (kedudukannya)," kata Najib di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur malam tadi.

Dengan ketetapan itu, status usul persendirian yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan tertakluk kepada pertimbangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan membuat keputusan untuk membentangkan sendiri cadangan pindaan Akta 355 itu pada sidang kali ini.

Mengulas lanjut, Muhd Harris Idaham berkata, setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menjadi ahli rasmi Pakatan Harapan, kini bola berada di gelanggang PAS untuk membuat keputusan politik yang profesional, matang dan peduli rakyat.

"AMK Selangor ingin berkongsi rasa simpati terhadap PAS kerana terperangkap dengan mainan politik Umno dan BN yang memberikan harapan palsu.

"Malangnya, Umno memilih untuk memperbodohkan PAS sama seperti kejadian 1977 apabila PAS ditendang keluar daripada kerajaan pusat (zaman Tun Hussein Onn). AMK Selangor melihat perkara ini sebagai hikayat lama berulang kembali," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS