Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Johari tak faham kaitan inflasi, harga barang - PKR
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 12:33 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli membidas Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani yang disifatkan seolah-olah tidak faham perkaitan antara kadar inflasi dan harga barangan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Apabila beliau (Johari) dengan secara mudah membuat andaian seolah-olah kadar inflasi tertinggi 4.5% itu akan selesai dengan sendiri, beliau lupakadar inflasi boleh turun naik dari satu masa ke satu masa, di Malaysia kebiasaannya apabila harga barang naik maka adalah terlalu sukar untuk ia turun," jelasnya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Johari tiga hari yang lalu yang menjangkakan kadar inflasi Malaysia, yang meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari lalu, besar kemungkinan akan berkurangan berikutan penurunan harga petrol.

Harga petrol adalah penyumbang utama kepada inflasi kali ini, seperti kata Bank Negara Malaysia, kata Johari.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Johari sepatutnya sedar bahawa walaupun beliau meramalkan kadar kenaikan harga barang adalah lebih perlahan selepas ini kerana harga minyak mentah dunia mungkin tidak naik sesegara yang dijangka.

"Itu tidak membantu rakyat kerana harga barang kekal mahal setelah ia dinaikkan dan keadaan menjadi lebih parah apabila gaji rakyat tidak meningkat pada kadar yang sama dengan kenaikan harga barang.

"Contohnya, menggunakan indeks harga dengan membandingkan 2010 dan 2017, sepatutnya gaji rakyat juga meningkat pada kadar yang sekurang-kurangnya sama dengan inflasi iaitu 20 peratus dalam tempoh 7 tahun.

"Seorang pekerja yang bergaji RM2,000 dalam tahun 2010 sepatutnya mendapat gaji RM2,400 dalam tahun 2017 untuk memastikan sekurang-kurangnya gaji yang diperolehi dapat menampung kenaikan harga barang (jika pun tidak ada kenaikan gaji)," jelas beliau.

Pada masa yang sama, dasar pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang anti-subsidi dan terlalu pro-perniagaan besar adalah punca utama kepada kenaikan harga barang yang berlaku sejak menjadi perdana menteri, katanya.

Oleh itu, tidak memadai bagi Najib dan para menteri terbabit yang secara berterusan menyalahkan rakyat dan peniaga (yang juga rakyat) tanpa ada sebarang langkah berkesan setakat ini untuk menangani kenaikan harga barang, tambahnya.

"Saya sedang mengusahakan satu kertas dasar yang menyeluruh mengenai cadangan-cadangan yang boleh dilaksanakan Pakatan Harapan untuk menangani kenaikan harga barang.

"Saya menyeru rakan-rakan politik supaya memberi sepenuh perhatian kepada usaha-usaha menurunkan harga barang kerana ini kehendak paling mendesak rakyat," kata Rafizi lagi.

Lihat Komen
ADS