Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis nasihat petani tak berseorangan di kebun
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 4:26 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

GLOBAL l Setelah kejadian seorang petani maut ditelan ular sawa di Sulawesi Barat semalam, polis daerah Mamuju hari ini mengeluarkan nasihat agar para petani tidak keseorangan ketika di kebun bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ketua Polis Daerah Mamuju Muhammad Rifai berkata, warga kampung itu diminta supaya sentiasa berhati-hati kerana binatang buas dalam hutan sememangnya menyerang manusia jika mereka benar-benar dalam kelaparan atau habitat mereka diganggu.

"Jangan pergi ke kebun sendirian, ular atau apa jenis haiwanpun akan memasuki wilayah manusia jika benar-benar kelaparan," katanya seperti yang dipetik oleh media-media dalam talian di Jakarta hari ini.

Pada kejadian semalam seorang petani Dusun Pangerang, Desa Salubiro di Mamuju yang dikenali sebagai Akbar, 25, ditemui maut setelah penduduk kampung membelah perut seekor ular sawa sepanjang kira-kira 7 meter yang tidak bergerak kerana kekenyangan.

Terdahulu itu, Akbar dilaporkan hilang setelah tidak pulang ke rumah selama sehari setelah keluar ke kebun kelapa sawitnya untuk bekerja.

Setelah penduduk kampungnya menganjurkan operasi mencari Akbar mereka terlihat seekor ular sawa yang kegemukan dan tidak mampu bergerak.

Mereka kemudiannya membelah perut ular itu bagi mengetahui apakah yang telah dimakan oleh reptila itu tetapi terkejut setelah menemui mayat Akbar dalam perut ular itu sebelum membuat laporan polis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS