Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor tolak cadangan 60:40 pengambilalihan Splash
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 4:34 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Kerajaan Negeri Selangor menolak cadangan kerajaan Pusat untuk mengguna pakai kaedah nisbah 60:40 bagi pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata cadangan itu 'premature' kerana kerajaan negeri belum menerima maklum balas daripada jemaah menteri yang mendapatkan pandangan penilai bebas berhubung pengambilalihan itu.

"Kerajaan negeri menerima surat daripada kerajaan Pusat bertarikh 6 Mac 2017 meminta pendirian mengenai kaedah pembiayaan pengambilalihan Splash iaitu 60 peratus dibiayai kerajaan Pusat menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan 40 peratus dibiayai kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri menerusi surat bertarikh 17 Mac 2017 menegaskan pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju cadangan nisbah pembiayaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan (BN-Permatang) Datuk Sulaiman Abd Razak mengenai persiapan kerajaan negeri untuk membiayai baki 40 peratus bagi mengambil alih ekuiti Splash.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata pihaknya mahu kerajaan pusat mengguna pakai kaedah sama yang digunakan untuk mengambil alih ekuiti syarikat konsesi lain seperti Puncak Niaga dan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor).

"Ini kerana ketika perjanjian utama pengambilalihan konsesi air ditandatangani pada 12 Sept 2014, syarikat air seperti Puncak Niaga dan Syabas dibiayai sepenuhnya kerajaan Pusat menerusi PAAB dengan membayar 100 peratus... mengapa Splash dikemukakan kaedah lain," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata kerajaan negeri telah mengambil tindakan lebih awal untuk melantik penilai bebas bagi membuat penilaian ke atas Splash.

Beliau juga berkata kerajaan Pusat telah pun melanjutkan tempoh memuktamadkan pengambilalihan ekuiti Splash sehingga 5 Okt depan bagi membolehkan jemaah menteri mendapatkan pandangan daripada penilai antarabangsa berhubung pengambilalihan itu.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menawarkan bayaran sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti Splash.

- Bernama

Lihat Komen
ADS