Paling Popular
Terkini

Lebih 100 warga asing mati dalam pusat tahanan imigresen Malaysia dalam tempoh dua tahun lalu berpunca daripada pelbagai penyakit serta sebab lain.

Data itu diperoleh berdasarkan dokumen Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dilihat Reuters.

Angka itu - yang sebelum ini tidak didedahkan - diperoleh daripada Jabatan Imigresen Malaysia yang memberikannya kepada Suhakam.

Berlaku 83 kematian pada 2015 dan sekurang-kurangnya 35 sehingga 20 Disember 2016.

Tidak dapat dipastikan sama ada kadar kematian itu adalah lebih tinggi berbanding negara jiran. Pegawai kerajaan di Indonesia dan Thailand memberitahu Reuters, mereka tidak mendedahkan perangkaan sedemikian.

Kadar itu adalah lebih tinggi berbanding negara-negara perindustrian maju seperti AS yang mencatatkan 10 kematian di bawah sistem penahanan imigresennya pada tahun kewangan lalu. AS mempunyai lebih ramai tahanan imigresen berbanding Malaysia.

Lebih separuh daripada 118 kematian itu adalah individu dari Myanmar - negara yang menjadi sumber puluhan ribu pelarian ke Malaysia, termasuk etnik Rohingya.

Jumlah kematian membabitkan Rohingya di kem tahanan imigresen Malaysia tidak diketahui.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi pengkritik keras kerajaan Myanmar yang ketuai pemimpin de facto Aung San Suu Kyi pada Oktober lalu ekoran tindakan kerajaan negara itu ke atas etnik Rohingya. Beliau menggesa supaya kuasa asing campur tangan bagi menghentikan genosida di Myanmar.

Pejabat Najib tidak menghubungi semula panggilan Reuters yang dibuat untuk mendapatkan komen mereka.

"Jumlah itu terlalu ramai, mengejutkan dan sistemnya perlu dibaik pulih," kata Jerald Joseph, seorang daripada lapan pesuruhjaya Suhakam, badan yang ditubuhkan parlimen Malaysia melalui satu akta pada 1999 dan dijangka membentangkan laporan berkenaan minggu depan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS