Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maza komen Aishah, Zamihan tuding Malaysiakini
Diterbitkan:  Mar 30, 2017 9:55 PM
Dikemaskini: Mar 31, 2017 7:51 AM

Selepas reda seketika, perang mulut antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dengan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain, kembali muncul hari ini.

Dan yang membawa kedua-dua mereka membuat kenyataan secara langsung itu ialah seorang gadis dari Dungun, Terengganu, yang kini ditahan pihak berkuasa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Siti Noor Aishah Atam.

Namun 'tempias' perseteruan itu pula nampaknya terkena pada Malaysiakini.

Pagi tadi Mohd Asri memuat naik status di Facebook beliau untuk mengulas secara ringkas penahanan Siti Noor Aishah, 29, yang kini banyak diperkatakan orang selepas ditahan semula pihak berkuasa pada Isnin lalu.

Mufti Perlis itu secara langsung mengaitkan Zamihan dengan penangkapan Siti Noor Aishah.

"Bagaimana mungkin orang yang seperti Zamihan yang kredibilitinya dipertikaikan di pelbagai sudut termasuk, tesisnya, boleh ambil sebagai rujukan kes?! Seorang wanita ditahan dan diseksa sebegitu rupa?!

"Setiap kita hendaklah ingat sesungguh kezaliman itu akan tetap tersimpan di sisi Tuhan dan apabila tiba harinya, balasan-Nya akan muncul di hadapan mata si penzalim," katanya.

Beberapa jam kemudian Zamihan membuat kenyataan balas dengan melampirkan status Mohd Asri itu.

"Amat memalukan seluruh rakyat dan kerajaan Perlis apabila muftinya sering bermulut celupar dan menabur fitnah kepada kerajaan Malaysia.

"Kali ini beliau kembali menerjah fitnah apabila mendakwa Noor Aisyah Atam (bekas tahanan Sosma dan kini ditahan kembali hasil rayuan timbalan pendakwa raya) diseksa begitu rupa semasa dalam tempoh penahanan berkenaan.

"Saya tertanya-tanya siapakah yang menyeksa tahanan wanita berkenaan? Adakah pihak PDRM atau Jabatan Penjara Malaysia? Atau Zamihan Mat Zin?," katanya.

Zamihan juga mendakwa Mohd Asri memburuk-burukkannya dengan mempertikaikan tesis untuk ijazah doktor falsafahnya.

"Siapa yang mempertikaikan tesis PhD Zamihan? Ahmad Jailani? Maszlee Malik? Bukankah mereka sekutu Mohd Asri? Jom semuka bincang secara ilmiah," katanya merujuk kepada dua tokoh yang pernah duduk sepentas dengan Mohd Asri.

Jawab 'fitnah' Malaysiakini

Ahmad Jailani Abdul Ghani ialah seorang peguam dan pendakwah yang tinggal di Pulau Pinang, manakala Dr Maszlee ialah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa.

Kata Zamihan, Mohd Asri sengaja mereka-reka tuduhan supaya pihak yang tidak sehaluan dengannya dilihat jahat dan zalim.

"Kalau setakat mengutip fakta tepi longkang daripada wartawan Malaysiakini, ia bukanlah perawi yang tsiqah wahai Dato Muftin.

"Sebenarnya, semasa Aishah ditahan di bawah Sosma, saya hanya diminta memberi keterangan saksi pakar dalam kalangan berpuluh-puluh pakar yang dipanggil mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

"Kepakaran kami dinilai dan diperakui oleh agensi keselamatan negara. Cuma Kerajaan tak ambil pakar fitnah dan pakar celupar seperti Mufti Perlis ya," katanya.

Untuk rekod, selain membuat laporan dan menyiarkan pandangan orang ramai, Malaysiakini tidak terlibat dalam sebarang kes mahkamah atau kenyataan membabitkan Siti Noor Aishah.

Semalam, Malaysiakini ada menyiarkan sebuah rencana mengenai Siti Noor Aishah yang ditulis oleh penyelaras Suaram. Pada akhir rencana itu ada dinyatakan bahawa tulisan berkenaan adalan pandangan peribadi penulisnya.

Zamihan turut mengemas kini akaun Facebooknya tidak lama kemudian dengan memuat naik tulisan panjangnya yang berjudul "Menjawab fitnah Malaysiakini dan Maza" - merujuk kepada Mohd Asri.

Kata Zamihan, fahaman terorisme tidak mengenal orang kaya atau miskin. Bahagian Counter Terrorism Bukit Aman pula, katanya, bertindak atas alasan keterlibatan seseorang itu dalam keganasan.

"Siasatan dihantar ke pejabat peguam negara dan akhirnya suspek didakwa di mahkamah terbuka.

"Usahlah membuat novel melankolik memancing emosi netizen. Hakikatnya, ibu bapanya sendirilah yang khuatir terhadap kecenderungan anak mereka yang terjebak dengan fahaman ekstremism sekian lama.

"Aishah seorang gadis yang sopan dan pendiam tetapi agak keras kepala. Dia mendakwa dirinya seorang mujahidah.

"Beliau merasakan terpanggil untuk berjihad di Syria dan ingin mati syahid disana. Beliau pernah menulis di salah sebuah buku miliknya. Baginya inilah peperangan jihad kemuncak akhir zaman.

"Beliau pernah memberitahu tahanan penjara dengan beliau bahawa beliau tidak peduli walau ditahan 30 tahun sekalipun... dia tetap ingin berjihad di Syria dan mati syahid disana. Walaupun dinasihati ibu bapanya, beliau tetap dengan tekadnya," tulis Zamihan.

Lihat Komen
ADS