Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis Korea Utara: 9 rakyat M'sia selamat tiba di KLIA
Diterbitkan:  Mar 31, 2017 8:15 AM
Dikemaskini: 12:23 AM

Sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang selamat tiba di tanah air, awal pagi ini.

Kesemua petugas kedutaan Malaysia di Pyongyang dan ahli keluarga masing-masing, yang menaiki pesawat khas, tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.03 pagi dan disambut ahli keluarga masing-masing.

Mereka ialah Setiausaha Duta, Noor Saaidah Jamaluddin, 29, suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan, Pegawai Tadbir, S. Nirmala Malar, 45, Kaunselor, Mohd Nor Azrin Md Zain, 37, isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynur Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3.

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan Korea Utara dibenarkan pulang ke tanah air.

Najib dalam catatan twitter miliknya berkata "Alhamdulillah Pesawat Khas membawa pulang 9 rakyat Malaysia telah keluar ruang udara Korea Utara. Krisis diplomatik sudah berakhir."

Susulan perkembangan itu, Najib berkata Malaysia kini membenarkan rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini.

Ketegangan Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Jong-nam, 46, dibunuh menggunakan agen saraf VX, oleh dua wanita asing semasa menunggu penerbangan pulang ke Macau di klia2.

Pergeseran diplomatik timbul apabila Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol membuat tuduhan tidak berasas terhadap Malaysia mengenai cara ia mengendalikan kes itu, yang mengakibatkan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai persona non grata (PNG).

Kang Chol meninggalkan Kuala Lumpur pada 6 Mac lepas.

Korea Utara bertindak balas dengan mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohammad sebagai PNG.

Sebelum itu, Mohamad Nizan dipanggil pulang oleh Wisma Putra 'untuk perundingan' pada 20 Feb lepas, beberapa jam selepas ketegangan diplomatik tercetus apabila Kang Chol mengkritik siasatan pihak berkuasa Malaysia ke atas pembunuhan Jong-nam.

Pada 7 Mac, Pyongyang menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu dan Kuala Lumpur mengambil tindakan sama ke atas warganegara Korea Utara yang berada di negara ini.

Sementara itu, Bernama turut melaporkan, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Datuk Seri Najib telah menunaikan janjinya untuk membawa pulang sembilan rakyat Malaysia berkenaan.

Anifah berkata, pada awal episod malang ini, perdana menteri telah berjanji kepada kakitangan kedutaan dan ahli keluarga masing-masing yang bimbang dengan keselamatan mereka.

Katanya, Najib juga berjanji bahawa kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja yang sebaik mungkin untuk membawa mereka kembali dan akan menggunakan setiap sumber dan usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

"Perdana Menteri terlibat secara langsung dan mengikuti setiap langkah secara dekat dalam proses rundingan sehingga membawa kepada pelepasan sembilan rakyat Malaysia.

"Hari ini, janji ini telah dipenuhi," katanya pada sidang media selepas menyambut kepulangan sembilan rakyat Malaysia di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS