Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak 372 peneroka Felda bukan sahaja gagal dalam rayuan mereka berhubung saman sivil mengenai gred perahan buah sawit, tetapi juga perlu membayar kos berjumlah RM472,000 kepada Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd.

Pada 27 Jun 2015, Mahkamah Tinggi di Seremban memerintahkan peneroka berkenaan dari Tanah Rancangan Felda Serting Hilir dan Tanah Rancangan Felda Raja Alias di Negeri Sembilan masing-masing membayar kos RM1,000 apabila Mahkamah Tinggi menolak saman sivil mereka.

Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim, sebulat suara menolak rayuan peneroka terbabit dan memerintahkan mereka membayar kos berjumlah RM100,000.

Mahkamah memerintahkan kos RM100,000 itu dibayar selepas peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili Felda dan Felda Palm Industries, memohon jumlah bayaran sebanyak itu atas alasan pendengaran rayuan memakan masa tiga hari dan melibatkan isu kompleks serta sejumlah besar dokumen.

Bagaimanapun, peguam R Sivarasa, yang mewakili peneroka berkenaan, memohon jumlah kos dikurangkan kepada RM10,000 dengan memberi alasan pendengaran bagi rayuan itu tidak memakan masa hingga sehari suntuk.

Penghakiman setebal 29 halaman itu disampaikan Hakim Datuk Zamani A Rahim, yang turut menganggotai panel itu, di samping Hakim Puan Sri Zaleha Yusof.

Dalam keputusan beliau, Zamani berkata tidak terdapat kekhilafan berkaitan rayuan yang dilakukan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Zabariah Mohd Yusof (kini Hakim Mahkamah Rayuan), yang mewajarkan campur tangan oleh Mahkamah Rayuan.

Dalam mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu, Zamani berkata mereka bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa isu yang dikemukakan peneroka terbabit tidak mempunyai merit.

Pada peringkat permulaan, terdapat 766 plaintif dalam saman sivil itu, tetapi jumlah mereka berkurangan kepada 372 kerana sesetengah mereka menarik diri dan sesetengah pula telah meninggal dunia.

Peneroka terbabit memfailkan saman sivil RM200 juta itu pada 9 Ogos 2010 kerana mendakwa mereka diberi bayaran rendah dengan alasan kadar perahan buah sawit mereka bergred rendah, sedangkan ia berkualiti super.

Mereka mendakwa berlaku penipuan dari segi gred perahan buah sawit bagi tempoh antara 1995 hingga September 1998, sebelum sistem pembelian secara langsung diperkenalkan.
Kira-kira 30 peneroka hadir di mahkamah hari ini untuk mendengar keputusan yang disampaikan.

Sivarasa, yang ditemui selepas keputusan itu disampaikan, berkata beliau akan mengkaji alasan penghakiman sebelum membuat keputusan sama ada akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS