Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keputusan mahkamah bersihkan nama saya - Khalid Ibrahim
Diterbitkan:  Apr 1, 2017 12:38 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, keputusan mahkamah menolak saman daripada Menteri Besar Diperbadankan Selangor (MBI) membuktikan beliau tidak membuat sebarang salah laku ketika memegang jawatan berkenaan.

Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memutuskan pampasan sebanyak RM2.7 juta yang diberikan Khalid kepada pegawainya sebelum meletak jawatan sebagai menteri besar Selangor tidak menyalahi undang-undang dan pengurusan kewangan MBI.

"Sejujurnya saya tidak terkejut dengan keputusan mahkamah ini kerana amat yakin saya telah menggunakan proses yang telus dan beretika di dalam transaksi tersebut selaras dengan peruntukan di dalam enakmen MBI.

"Saya amat bersyukur keputusan yang dibuat pada hari ini (semalam) kerana ia secara langsung telah membersihkan nama saya daripada tuduhan salah laku ketika bertugas sebagai menteri besar," katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi.

Beliau berkata, tindakan mahkamah yang difailkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dilakukan secara semberono, berniat jahat serta bermotifkan politik.

"Saya juga tidak menolak keghairahan menteri besar meneruskan tindakan saman tersebut adalah sebagai usaha untuk menutup kepincangan dan ketirisan yang berlaku di dalam pentadbiran beliau," kata Khalid.

Khalid memberikan pampasan kepada lapan bekas pegawai MBI - Ketua Pegawai Eksekutif Faekah Hussin; Rohani Talib; Arfa'eza Abdul Aziz; Mustapha Mohd Talib; Rahimah Kamarudin; Sulaiman Masri; Abdul Halim Mohamed Yusof; dan Tuan Nazuri Tuan Ismail - apabila beliau meletakkan jawatan sebagai menteri besar Selangor selepas krisis yang berpanjang pada tahun 2014.

Pada 16 Januari 2015 Azmin mengarahkan mereka memulangkan wang pampasan antara RM114,870 dan RM699,000 setiap seorang yang didakwa melanggar peraturan kewangan kerajaan negeri atau berdepan prosiding undang-undang daripada BMI.

'Rakyat tanggung kos tinggi'

Sementara itu, Khalid menyelar pentadbiran kerajaan Selangor kerana mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (SPLASH) dengan harga terlampau tinggi iaitu RM2.8 bilion, sedangkan nilai ekuiti syarikat itu hanya RM800 juta.

Katanya, perkara itu menimbulkan banyak persoalan mengenai integriti kerajaan negeri dan akan merugikan rakyat.

"Jika rancangan ini diteruskan rakyat akan menanggung kos yang sangat tinggi dan tidak akan berpeluang untuk memiliki saham syarikat air yang kini telah dimiliki kerajaan negeri.

"Rakyat perlu prihatin atas perbelanjaan yang telah dibuat dan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan dan nilai yang setimpal," katanya.

Lihat Komen
ADS