Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) akan mengheret kerajaan ke mahkamah jika Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pengerusi Biro Pendidikan dan Modal Insan PERKASA Datuk Sirajudin Mohd Salleh, berkata pertubuhan itu meminta kerajaan menolak secara rasmi dan muktamad sijil berkenaan.

"UEC hanya akan memberi kesan buruk terhadap perpaduan serta mencabar kedaulatan negara.

“Kerajaan mesti mengambil kira perlembagaan dan undang-undang serta kepentingan serta kedaulatan negara dalam membuat keputusan (berkaitan UEC)," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Sirajudin berkata demikian semasa membacakan resolusi dipersetujui daripada sidang berkenaan.

Pertubuhan pendesak terbabit menjadi penganjur kepada sidang meja bulan berkenaan.

Antara panel yang terlibat dalam sesi tersebut ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) Dr Saleeh Rahamad; Ketua Kluster Pendidikan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, Felo Utama Institut Kajian Etnik UKM, Prof Teo Kok Seong dan peguam, Adnan Seman.

UEC adalah ujian kemasukan ke institusi pengajian tinggi yang ditadbir persendirian Cina di Malaysia.

Setakat ini ia tidak diiktiraf oleh universiti awam di negara ini walaupun sudah diterima pusat pengajian tinggi swasta dan utama di dalam dan negara.

Sirajudin yang juga timbalan presiden PERKASA berkata, UEC bertentangan dengan Fasal 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

UEC pula, katanya, tidak menggunakan bahasa Melayu sebaliknya bahasa Cina.

UEC rugikan kaum Cina

Selain itu katanya, pengiktirafan UEC adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terkandung dalam Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Katanya, pelajar UEC tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia seperti sekolah harian kerajaan.

"Perlu diingatkan kini mata pelajaran Sejarah juga diwajibkan diambil dan disyaratkan lulus untuk lulus SPM.

“Amat tidak logik dan tidak masuk akal disebabkan kepentingan politik dan perkauman serta undi, maka dasar pendidikan kebangsaan yang telah diwujudkan sejak merdeka dikorbankan,” katanya.

Sementara itu, Teo berkata kerajaan harus mengutamakan pelajar aliran kebangsaan berbanding UEC kerana mereka lebih setia kepada pemerintah.

“Bagi saya dalam hal iktiraf sijil UEC, kita patut tengok lagi sekelompok ibu bapa yang tak masukkan anak mereka ke sekolah menengah persendirian selepas berumur 6 tahun, tapi daftarkan di sekolah rendah jenis kebangsaan.

“Mereka hantar anak-anak mereka ke sekolah menengah kebangsaan yang guna bahasa pengantar Bahasa Melayu. Kelompok ini sanggup berada dalam sistem dan mereka setia. Yang tak sanggup dalam sistem ini mereka lebih kurang tak setia,” katanya.

Teo turut menyeru masyarakat Cina di negara ini menolak UEC serta ikut serta dalam sistem pendidikan sedia ada bagi memperoleh peluang untuk belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Yang kita tahu tempat belajar di IPTA amat terhad khusus untuk dalam bidang kritikal seperti perubatan, teknologi maklumat dan perundangan.

“Kalau UEC masuk, UEC akan ambil kuota Cina yang setia itu. Walaupun kita ada sistem meritokrasi tapi kita ada sistem kuota dan kita tak nak fakulti didominasi satu bangsa sahaja.

“Masyarakat Cina perlu tahu kalau UEC diiktiraf mereka akan rugi kerana IPTA terhad kuota Cina, jadi perlu tolak,” katanya.

Lihat Komen
ADS