Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tempoh reman Tan Sri cuba rasuah Sultan Johor dilanjutkan
Diterbitkan:  Apr 4, 2017 11:09 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Mahkamah Masjistret hari ini membenarkan lanjutan tahanan reman ke atas seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri yang ditahan bagi membantu siasatan kes cubaan merasuah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnin Wan Ab Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkannya disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Suspek yang berusia 54 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret sekitar jam 9.30 pagi tadi, berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan diiringi pegawai SPRM, selain tiga peguamnya iaitu Datuk K Kumarendran, Datuk Joshua Kevin dan Linda Goh.

Sebelum ini, suspek itu direman lima hari bermula Jumaat lalu yang berakhir hari ini.

Khamis lalu, lelaki itu menyerah diri kepada SPRM selepas beberapa jam diarahkan berbuat demikian oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki.

Ahad lalu, Sultan Ibrahim menyatakan kesediaan mendedahkan maklumat kepada SPRM berhubung orang tengah yang cuba merasuah baginda mengenai penganugerahan darjah kebesaran.

Baginda mendedahkan menerima tawaran RM2 juta daripada seorang individu bagi mencadangkan nama seseorang kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran 'Tan Sri' daripada Yang di-Pertuan Agong.

 

Lihat Komen
ADS