Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Jahat sungguh polis Malaysia. Sementara menteri-menteri dan Najib sendiri tidak menghalang debat saya dengan Nazri, polis daerah pandai-pandai menyekat.

Kononnya sekolah tidak boleh guna; kononnnya ada kemungkinan rusuhan berlaku, ada protes daripada rakyat dan bermacam-macam lagi.

Semua ini kerenah polis. IGP (Ketua Polis Negara) pun tidak ada halangan. Katanya ini bukan business polis. Yang tidak beri kelulusan ialah ketua daerah polis (OCPD).

Timbalan Menteri Dalam Negeri pun pegawai-pegawai polis tak hormat. Bukankah YB Nur Jazlan sudah berfirman bahawa ia tidak ada halangan? Bahkan dia sokong debat diadakan.

Tetapi itu pun tidak dihiraukan oleh pegawai rendah polis. Ia tak beri atau tarik balik kelulusan.

Sesungguhnya pegawai rendah polis sudah mengambil alih negara ini. Kerajaan, menteri-menteri dan Najib begitu demokratik, hendak beri kebebasan sepenuhnya kepada rakyat.

Tetapi polis ganggu. Jahat sungguhlah polis.

Sekarang IGP sendiri terpaksa ikut kehendak pegawai di bawahnya. IGP pula tidak bersetuju supaya debat diadakan di Shah Alam.

Mujurlah Menteri Kewangan II, (Johari) Abdul Ghani mencadangkan supaya debat diadakan di hotel.

Demikianlah minat kerajaan untuk melihat debat diadakan.

Syabas Malaysia

Penganjur belum sambut cadangan baik ini. Jika tidak sambut janganlah salahkan kerajaan demokratik Najib debat tidak diadakan.

Jangan salahkan Nazri pun kerana menteri kerajaan ini menawarkan antartika dan penguin yang penyokong saya tidak mampu pergi.

Saya tak dapat tinggal negara demokratik ini terlalu lama.

Saya kecewa kerana untuk wacana “Nothing to Hide” dahulu pun polis buat kacau.

Najib hilang peluang untuk menceritakan bagaimana kawan Arabnya memberi kepadanya hanya AS$681 juta (RM2.6 bilion pada waktu itu) dan membisik bahawa ia patut masuk ke dalam akaun peribadinya, belanja sesuka hatinya tanpa pengetahuan sesiapa.

Kerana IGP bebas menghalang Najib, PM Malaysia tidak dapat membersihkan dirinya daripada tuduhan tak berasas.

Kata Nazri, Malaysia sudah jadi “police state”. Ya benar. Benang-benang halus yang menggerak bibir dan lidah polis sebenarnya tidak ada walaupun ternampak ada.

Syabas Malaysia, negara demokratik yang tidak ada tolok bandingnya.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD ialah bekas perdana menteri dan kini menjadi pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Rencana ini disiarkan pertama kali di blog beliau, merupakan pandangan peribadi penulisnya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS