Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CGH peroleh hasil lebih banyak dari Forest City tahun ini

Pemaju Forest City, Country Garden Holdings Company Ltd (CGH) menjangkakan kepelbagaian hasil jualan dan sewaan yang lebih banyak daripada pelbagai projek hartanah pada tahun ini.

Ia merangkumi ruang pejabat, pusat beli-belah, hotel baru dan padang golf, sebagai tambahan kepada harta tanah kediaman.

Dari Januari dan Disember 2016, CGH menjual lebih daripada 15,000 unit kediaman.

"Kami tetap komited kepada pembangunan Forest City. Inilah projek yang amat besar dan akan mengambil masa kira-kira 20 tahun untuk disiapkan," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Sebagai sebuah projek yang menyasarkan pasaran antarabangsa, katanya: "Ia berada di landasan yang betul bagi membina dan menyampaikan unit kediaman serta komersil mengikut jadual kepada para pembeli dan pelabur.

Syarikat itu sedang dalam "perbincangan yang positif" dengan lebih daripada 30 syarikat dan pelabur mengenai kemungkinan mendirikan hab-hab serantau mereka atau bersama-sama membangun dan menguruskan aset hartanah di bandar tersebut.

"Syarikat-syarikat itu terdiri daripada sektor pelancongan, pendidikan dan sektor penjagaan kesihatan," katanya.

Usaha menarik perniagaan ke Forest City akan membuka jalan bagi penubuhan hab ekonomi di Iskandar Malaysia dan syarikat itu dijangka akan membuat beberapa pengumuman dalam bulan-bulan akan datang.

Perbincangan sedang dibuat

Ketika mengulas mengenai pembatalan selepas memeterai perjanjian jual beli (SPA) yang dianggap sebagai pelanggaran kontrak, CGH menjelaskan bahawa klausa penalti yang merangkumi antara 10 peratus dan 30 peratus hanya akan menjadi kenyataan selepas pembeli gagal melunaskan pembayaran atau membatalkan SPA itu.

"Terma dan syarat-syarat yang digariskan dalam SPA kami adalah selaras dengan undang-undang dan piawaian," katanya.

Set lengkap SPA itu boleh diakses dalam bahasa Inggeris dan bahasa Cina di galeri jualan syarikat berkenaan.

Menurut CGH, sehingga kini, ia telah menerima pertanyaan daripada "kurang 60 pembeli di China" yang menunjukkan mereka ingin membatalkan tempahan mereka.

"Kami sedang dalam perbincangan dengan mereka," katanya.

Sesetengah pembeli harta tanah dari China telah terjejas selepas Beijing mengenakan peraturan yang lebih ketat bagi membendung aliran keluar modal dari negara itu.

Sejak 13 Mac 2017, galeri jualan CGH di China telah memberhentikan semua perjalanan yang berkaitan dengan sokongan perkhidmatan untuk penduduk China yang mahu melawat Forest City.

"Ini bermakna pembeli dari China yang berminat dengan Forest City perlu datang sendiri ke galeri kami Iskandar Malaysia.

"Galeri jualan kami di seluruh dunia masih beroperasi mengikut undang-undang dan piawaian sedia ada," katanya.

Country Garden Pacificview Sdn Bhd adalah pemaju induk dan pencipta Forest City, sebuah syarikat usahasama antara CGH dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, sebuah syarikat bersekutu Kumpulan Prasarana Rakyat Johor.

Forest City adalah sebuah projek bandar pintar dengan keluasan pembangunan merangkumi 1,370 hektar dengan pelaburan sebanyak RM170 bilion dan dianggarkan bakal menyediakan sebanyak 220,000 peluang pekerjaan di Johor menjelang 2035.

Ia dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar melebihi RM100 bilion dalam tempoh lebih dari 20 tahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS