Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

ULASAN Sebenarnya tak siapa perlu risau dengan pembentangan bil persendirian RUU355 tempoh hari. Ia adalah perkara biasa. Bukan hanya oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, sesiapa pun anggota parlimen boleh mengemukakan usul pindaan ke atas mana-mana undang-undang sekalipun.

Hari ini rakyat Malaysia—yang rata-rata tak pernah jejak kaki ke parlimen— telah belajar serba sedikit kaedah sesuatu undang-undang dapat dipinda. Inilah hikmahnya.

Apabila ada usul pindaan, selepas dibacakan oleh pembawa usul, maka akan dibahaskan. Selepas itu ada proses pengundian. Kalau majoriti setuju, tidak terus menjadi undang-undang melainkan perlu dibentangkan semula oleh pihak kerajaan. Tugas membentangkan semula dalam kerajaan sekarang ditanggung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azlina Othman.

Begitulah proses yang perlu dilalui untuk meminda akta 355 yang dibawa oleh Abdul Hadi. Beliau berpeluang membacakannya buat pertama kali di dalam dewan rakyat pada hari terakhir sidang, selepas beberapa usul atau aturan urusan kerajaan selesai. Aturan urusan kerajaan perlulah didahulukan. Sebelum ini, usul Abdul Hadi tertangguh kira-kira dua tahun lamanya.

Selepas mendengar penjelasan di dalam Dewan Rakyat, kita lantas faham ada dua perkara pokok yang menjadi asas mengapa Hadi membawa usul berkenaan.

Pertama, beliau mencadangkan untuk menambah hukuman yang boleh diperuntukkan kepada mahkamah syariah. Kedua, dengan penambahan hukuman itu maka dikatakan sebagai cara mengangkat martabat mahkamah syariah agar setara dengan mahkamah sivil. Hadi sendiri mengakui RUU355 itu bukan hudud. Bukan!

Oleh kerana usul itu dibawakan oleh seorang ahli politik yang juga presiden PAS, maka usul berkenaan juga dilihat banyak pihak sebagai mempunyai unsur agama yang sekali gus unsur politik. Maknanya, tidak bermotif agama sahaja dan tidak juga politik semata-semata.

Perlembagaan persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan tidak siapa yang mempertikaikannya. Asas kenegaraan ini juga menjadi teras kesepakatan parti-parti pembangkang. Abdul Hadi selain sedang diuji, beliau juga sedang menguji.

Bolehlah disemak bahawa kehendak untuk tunduk patuh kepada perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sebenarnya lebih banyak diperjuangkan oleh parti pembangkang, termasuklah PAS, DAP dan PKR. Anwar Ibrahim sendiri sangat kuat memperjuangkannya sejak bebas dari penjara pada 2004 dan mengemudi Pakatan Rakyat dalam dua kali PRU.

Antara penekanan yang diberikan termasuklah hak negeri-negeri dalam pemberian royalti yang tidak adil yang diamalkan berpuluh tahun oleh Putrajaya. Kes royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan yang terlalu kecil menunjukkan Putrajaya sejak sekian lama tidak menghormati apa yang disebut sebagai konsep “federalisme”. Dalam perkara ini, PM Najib Razak Najib juga masih mendiamkan diri.

Memang aneh

Memang aneh apabila Umno-BN yang selama ini tidak menghormati banyak perkara di dalam perlembagaan, tak semena-mena menjadi pihak yang mahu turut sama memperkasa mahkamah syariah. Ia samalah ibarat seorang pencuri juga mahu menyokong usaha menangkap si pencuri.

Sesungguhnya pembentangan usul RUU355 sebagai usul persendirian dan bukannya usul kerajaan dengan sendirinya membuktikan betapa selama ini kerajaan telah gagal melihat kepentingan untuk memperkasa mahkamah syariah. Kegagalan itu tidak bolehlah diletakkan di bahu parti-parti pembangkang.

Nanti tentu ada yang cuma memutar dengan berkata bahawa agama adalah kuasa bawah kerajaan negeri. Memang benar. Namun barang diingat kebanyakan kerajaan negeri adalah di bawah parti yang sama yang berkuasa di Putrajaya iaitu Umno-BN. Hanya Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor sahaja yang mana kerajaannya bukan Umno-BN.

Dalam riuh-riuh yang seakan sengaja dibiar berpanjangan, ada kenyataan media penting pada hari yang sama Hadi membaca usul berkenaan di parlimen. Sayangnya tidak dilapor.

Kenyataan itu adalah oleh presiden PKR, Dr Wan Azizah Ismail. Beliau sekali lagi menegaskan bahawa PKR mahu melihat terlebih dahulu butiran usul oleh Hadi. Pendirian Dr Wan Azizah sama dikongsi khususnya oleh Muhyiddin Yassin yang mewakili BERSATU.

Dr Wan Azizah dalam kenyataan sama menyebutkan bahawa usaha memperkasa mahkamah syariah juga telah dilakukan di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Beliau memberikan contoh di Selangor.

Di banyak negeri, bertimbun kes di mahkamah syariah dikatakan lambat dan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Bagi memberikan penyelesaian terbaik, mahkamah syariah di Shah Alam telah mengadakan sidang pada waktu malam. Langkah berkenaan adalah yang pertama di negara ini, selain beberapa langkah lain seperti melantik hakim syarie di kalangan wanita.

Maknanya, usaha mengangkat dan memperkasa mahkamah syariah bukan hanya dengan satu cara. Menambah hukuman sama ada dalam bentuk wang, jumlah tahun penjara dan hukuman sebat seperti yang dicadang Hadi adalah satu daripada seribu satu lain yang tidak boleh diabaikan. Gred gaji hakim juga bukanlah alasan besar untuk menjadikan mahkamah syariah terus terpelosok.

Pendirian PKR dan BERSATU itu diperkukuhkan dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang menyebutkan bahawa pembaharuan dan pemerkasaan mahkamah syariah wajar dilakukan secara menyeluruh. Ringkasnya, laksana menggantikan satu tiang sahaja tidak akan memperkuatkan seluruh binaan kalau puluhan tiang-tiang lain dibiarkan dimakan asai.

Anwar mencadangkan satu langkah lebih padu dan pratikal yakni dengan desakan penubuhan jawatankuasa pilihan parlimen bagi mengkaji dan mencadangkan apa yang perlu dilakukan untuk memperkasa mahkamah syariah. Jawatankuasa berkenaan yang diletakkan bawah parlimen pastinya akan turut dianggotai pakar dalam pelbagai bidang termasuklah perundangan Islam. Maknanya, hal sebenar dan sepenting menetapkan hukuman tidaklah dibuat oleh satu-dua anggota parlimen.

Keresahan warga bukan Islam

Kewujudan jawatankuasa itu juga dapat meredakan keresahan di kalangan bukan Islam mengenai nasib mereka apabila diperkuat sesuatu hukuman. Dalam sebuah negara berbilang kaum, keresahan warga bukan Islam juga wajar diambil kira kerana aspek itu akan menentukan kesentosaan rakyat secara keseluruhan.

Antara matlamat undang-undang adalah untuk mencapai kesentosaan, dan tidak perlulah usaha membuat undang-undang pun sudah tidak menyentosakan. Di sinilah hikmah umat Islam terutama para pemimpinnya dituntut.

Berbanding PM Najib, Anwar mempunyai rekod jauh lebih boleh diyakini dalam soal memperkasa Islam secara keseluruhannya di Malaysia. Beberapa institusi Islam seperti institusi kewangan dan universiti Islam wujud di era Anwar berada dalam kerajaan. Tentulah tidak bijak sama sekali sekiranya nasib agama ini diletakkan ke bahu seorang yang tercalar rekod pentadbirannya dengan skandal 1MDB, kes Altantuya mahupun penjualan wilayah kepada pihak asing.

Riuh rendah dalam atau di luar parlimen juga wujud apabila ada yang melihat pembentangan usul persendirian oleh Abdul Hadi secara politiknya akan menguntungkan Umno-BN; tidak juga PAS dan tidak juga parti pembangkang lainnya.

Turut dibimbangi bahawa ia tidak lebih hanyalah sebahagian daripada percaturan politik Najib yang mahukan agar pakatan pembangkang pecah menjelang PRU akan datang. Saya yakin Abdul Hadi dan kemimpinan PAS sangat sedar realiti ini. Rakyat juga sedang membayangkan bagaimana pakatan baharu pemimpin Islam yang mengikat antara Abdul Hadi-Anwar-Dr Mahathir adalah yang terkuat dalam sejarah Malaysia demi menumbangkan Umno-BN.

Sesungguhnya tidak ada satu parti pun yang boleh mencapai kemenangan dan memerintah sendirian. Tidak juga parti-parti pembangkang dan tidak juga Umno. Zaman ada parti tunggal maha berkuasa dan terkuat sudah berakhir.

Di sela-sela hujah ini, terdengar juga bicara bahawa semua yang dilakukan oleh Abdul Hadi dan PAS sejak beberapa tahun kebelakangan adalah bagi menunjukkan mereka juga mempunyai kuasa rundingan. Sekiranya sesiapa pun yang mahu berurusan, wajarlah menerima mendengar suara, syarat selain menghormati mereka dalam rundingan gabungan.

Saya tak pasti apakah strategi sebegitu selamanya tepat terutama tatkala umat Melayu-Islam dan seluruh rakyat Malaysia berada dalam keadaan sangat sukar bawah rejim kleptokrasi. Namun ramai yakin bahawa golongan ulama yang berjuang mengangkat martabat tanah airnya juga kelak akan turut diberi penghormatan tinggi lagi mulia.

Memang motif politik dapat dirasakan apakala speaker menamatkan sidang secara tiba-tiba. Sama ada sidang ditangguh atau tidak, usaha untuk kembali membina Pakatan Rakyat yang solid demi memastikan satu lawan satu belum lagi terlewat.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS