Paling Popular
Terkini

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menolak rayuan Khalid Samad untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Dalam samannya, anggota parlimen Shah Alam terbabit mendakwa peruntukan dalam enakmen itu tidak mengikut perlemebagaan negara.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel tiga hakim yang bersidang hari ini berkata, mahkamah sebulat suara menolak permohonan tersebut kerana ia tidak sah.

"Mahkamah Syariah juga telah memutusakan Khalid bersalah. Jadi, kenapa nak bawa lagi ke Mahkamah Persekutuan?" soal Md Raus.

Menurut beliau Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa seseorang menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya secara jelas menyatakan bahawa tauliah diperlukan untuk membuat ceramah.

"Jadi, macam mana awak kata ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan?

"Kenapa nak bawa kes kepada mahkamah sivil sedangkan ini kes syariah?" kata Md Raus lagi.

November lalu, Mahkamah Rayuan menolak perohonan Khalid untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman mencabar keperlembagaan peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (negeri Selangor) 2003.

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim bersetuju dengan hujah Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bahawa perkara itu sepatutnya dikemukakan terus ke Mahkamah Persekutuan dan ia tidak seharusnya difailkan dengan cara semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Diarah bayar kos

Khalid didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Klang atas tuduhan mengajar tanpa tauliah di Surau Taman Semanta, Klang, pada 16 Ogos 2011. Dia didakwa mengikut Seksyen 119 enakmen itu.

Mahkamah Syariah memerintahkan Khalid membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan prima facie terhadap beliau.

Khalid kemudian mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keperlembagaan peruntukan yang dikenakan ke atas beliau.

Kata Khalid, Seksyen 119 menyalahi Perkara 11 (1) dan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menamakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sebagai responden dalam permohonannya.

Khalid memohon perintah certiorari untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan peintah larangan menahan Mais daripada meneruskan pendakwaan terhadap beliau di Mahkamah Syariah.

Pada 28 Mac tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan itu dengan alasan ia bersifat remeh dan menyusahkan, serta bertujuan melengah-lengahkan perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Pada Januari lalu, Mahkamah Rendah Syariah Klang memutuskan bekas pemimpin kanan PAS Selangor itu disabitkan bersalah dan didenda RM2,900 atau tiga bulan penjara.

Terdahulu, peguam Nadzratun Naim Hammad Azizi, yang mewakili Khalid, berhujah bahawa semakan kehakiman itu perlu dibuat kerana ia bercanggah dengan Seksyen 119 menyalahi Perkara 11 (1) dan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh demikian, katanya, Khalid mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar keperlembagaan peruntukan dan bukan mencabar kuasa dewan undangan negeri.

Nadzratun Naim dibantu peguam Sharifah Nur Asmaa' Syed Azman.

Mahkamah juga memutuskan Khalid perlu membayar kos RM10,000.

Lihat Komen
ADS