Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluarga Nik Aziz teliti kemungkinan saman AMANAH
Diterbitkan:  Apr 10, 2017 5:05 PM
Dikemaskini: 9:26 AM

Panel peguam keluarga allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sedang meneliti secara terperinci kenyataan dan bagaimana seminar pemikiran ikon PAS itu dijalankan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Jika terdapat apa apa tuduhan palsu atau kenyataan yang boleh mencemarkan nama baik ATGNA (allahyarham), maka kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga kesucian dan nama baik almarhum ayahanda kami,” menurut kenyataan keluarganya.

Acara di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) itu dirasmikan oleh Presiden Amanah Mohamad Sabu yang juga bekas timbalan presiden PAS.

Ucap utamanya disampaikan oleh Penasihat Amanah Kelantan Datuk Husam Musa yang sering dirujuk sebagai anak didik Nik Aziz.

Tiga kertas kerja dilapor dibentangkan, iaitu oleh Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang, yang juga bekas naib presiden PAS dan anggota parlimen Kluang daripada DAP Liew Chin Tong.

Kenyataan keluarga Nik Aziz itu dimuatkan dalam Facebook salah seorang anaknya Nik Abduh, yang juga anggota parlimen Pengkalan Chepa.

Ia dikeluarkan oleh seorang lagi anak lelaki allahyarham, Nik Adli, bersama seluruh anggota keluarga serta bagi pihak balu Nik Aziz, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Pemimpin PAS turut menzahirkan rasa tidak selesa dengan langkah AMANAH itu dan menyifatkan parti serpihan mereka itu melakukan “jenayah intelek”.

Anggota Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mendakwa AMANAH - yang ditubuhkan oleh pemimpin PAS yang diketepikan perwakilan mereka pada 2015 - selaras dengan pemikiran bekas menteri besar Kelantan serta mursyidul am PAS itu.

Sementara itu, Malaysia Dateline melaporkan Mohamad sebagai berkata Nik Aziz menekankan kedua-dua nilai akhlak dan akidah dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah.

Ahmad pula berkata aura Nik Aziz sepanjang hampir 25 tahun menjadi menteri besar menjadikan Islam dapat diterima oleh kaum Cina dan India di luar Kelantan.

Sementara itu, Liew pula berkata tanpa sikap Nik Aziz, pilihan raya umum 2008 sudah dirampas, seperti usaha menggabungkan Umno-PAS di Perak yang ditolaknya.

Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015 di kediamannya di Kampung Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan pada usia 84 tahun setelah menghidap kanser prostat.

Lihat Komen
ADS