Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Tempoh reman seorang ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' dan tiga lagi lelaki termasuk anak lelakinya dilanjutkan dua hari bermula esok bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM13 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkaitan projek pengindahan
Sungai Melaka.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap 'Tan Sri' dan anak lelakinya serta dua pegawai JPS bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut terhadap mereka.

Dua lagi yang ditahan reman bersama sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh mahkamah sama pada hari ini.

Keenam-enam lelaki yang berumur antara 33 hingga 63 tahun itu direman enam hari sejak 6 April lalu.

Sebelum itu, mereka diiringi pegawai SPRM dan tiba di mahkamah pada 9.30 pagi.

'Tan Sri' berumur 60-an itu kelihatan sedih selepas keluar dari mahkamah
ketika diiringi pegawai SPRM ke kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang tinggi.

Dilaporkan sebelum ini bahawa kesemua pegawai JPS yang ditahan disyaki bersubahat dengan Tan Sri itu yang merupakan pemilik syarikat dilantik untuk membekalkan alat 'geotube' bagi projek JPS, membabitkan kerja pemulihan sungai dengan menggunakan kaedah penggalian pada sekitar 2012.

Kesemua lelaki itu didakwa membuat tuntutan pembayaran palsu berjumlah RM13 juta bagi pembekalan 358 unit geotube, sedangkan pembekalan dibuat sebanyak 89 unit dengan nilai RM4 juta. -Bernama

Lihat Komen
ADS