Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid sokong pelantikan Hisham bantu Najib
Diterbitkan:  Apr 12, 2017 5:04 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyokong pelantikan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri.

Di sebalik dakwaan PKR bahawa pelantikan itu bukan perkembangan baik untuk cita-cita politiknya, Ahmad Zahid berkata, pelantikan itu amat sesuai dan beliau yakin Hishamuddin mampu melaksanakan tugas tersebut.

“Saya menyokong tugas baru diberikan untuk membantu perdana menteri dalam misi dan tugas-tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta juga tugas tertentu yang akan membawa kepada kelicinan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan, memetik laporan Utusan Online.

Sebentar tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelantikan Hishamuddin sebagai menteri dengan tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri, berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataanya, Najib turut menjelaskan bahawa Hishammuddin masih kekal sebagai menteri pertahanan.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli meramalkan pelantikan Hishamuddin itu bukan perkembangan baik untuk cita-cita politik Ahmad Zahid dengan melihat langkah itu sebagai restu langsung Najib.

“Ini sama ada Hishammuddin mahu cabar Zahid untuk kerusi timbalan presiden Umno atau Hishammuddin sendiri bermasalah mempertahankan kerusi naib presiden yang disandangnya,” kata Rafizi.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub menafsirkan pelantikan Hishammuddin sebagai petanda Najib akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi.

"Pelantikan Hishamuddin sebagai menteri tugas-tugas khas adalah isyarat Najib akan berundur dari jawatan perdana menteri dalam tempoh terdekat dan Hishamuddin akan ambil alih jawatan untuk memastikan kesinambungan dan hayat Umno dalam pihanraya umum akan datang," kata beliau menerusi tweet.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas itu, tambah Salahuddin, beliau tidak akan terkejut jika Ahmad Zahid menerima nasib yang sama seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Demi survival Najib dan Umno, saya tidak terkejut (Ahmad) Zahid akan menerima nasib seperti Muhyidin," katanya.

Lihat Komen
ADS